KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut manakala rakannya parah selepas motosikal dinaiki dirempuh sebuah treler di Jalan KKIP di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, Freaddysiswanto Jaihya, 21, penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakannya, Shellisthowell Musah, 18, parah dan masih menerima rawatan di Hospital Likas, di sini.
Pemandu treler dipercayai melarikan diri selepas kemalangan dan usaha mengesannya giat dijalankan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata punca kemalangan masih disiasat.
Ketika anggota polis tiba di lokasi kejadian, katanya, Freaddysiswanto dilihat tertiarap di lorong kanan dari arah Politeknik ke lampu isyarat KKIP.
“Rakan mangsa yang juga pembonceng motosikal sudah dihantar ke hospital oleh pihak ambulans, manakala pemandu treler berkenaan tidak dikesan di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sehubungan itu, beliau meminta saksi kemalangan atau yang mengetahui nombor pendaftaran treler terbabit supaya tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BH Online
No comments:
Write comments