BALI – Pasangan kekasih dihukum penjara semalam selepas didapati bersalah memukul hingga mati seorang anggota polis yang mayatnya ditemui berlumuran darah di tepi pantai.
Sara Connor warga Australia dan kekasihnya, David Taylor dari Britain didapati bersalah menyerang anggota polis trafik, Wayan Sudarsa di Kuta pada Ogos tahun lalu.
Sara, 46, dihukum penjara empat tahun manakala Taylor, 34, dipenjara enam tahun.
Wayan ditemui berlumuran darah dan tubuhnya penuh dengan puluhan kesan luka di leher, dada dan kepala.
Taylor yang bekerja sebagai DJ mengaku bergaduh dengan Wayan di tepi pantai selepas menuduh mangsa mencuri beg Sara.
Dia memukul mangsa dengan beberapa objek termasuk teropong dan botol bir.
Taylor memberitahu mahkamah, dia yang takut nyawanya terancam bertindak mempertahankan diri dan tidak berniat membunuh mangsa.
Sara yang mengaku tidak bersalah menegaskan dia masuk campur untuk meleraikan pergaduhan.
Bagaimanapun, hakim menolak alasan Sara yang mendakwa dia menghalang mangsa daripada bangun sementara Taylor memukulnya.
“Tindakan defendan bermakna mangsa tidak dapat bangun dan menggerakkan badannya untuk melawan,” kata ketua panel hakim, Wayan Sukanila. – AFP/myMetro Online
No comments:
Write comments