KUALA LUMPUR: Hubungan diplomatik Malaysia dan Korea Utara meruncing susulan tindakan drastik Pyongyang mengenakan larangan sementara terhadap 11 rakyat Malaysia termasuk tiga kakitangan kedutaan dari meninggalkan negara itu.
Arahan itu dikeluarkan Jabatan Protokol di bawah Kementerian Luar di Pyongyang, semalam dalam tindakan yang disifatkan akan menjekaskan lagi hubungan diplomatik antara kedua-dua negara ekoran isu membabitkan pembunuhan Kim Jong-nam, abang tiri pemimpin tertinggi negara itu.
Agensi berita rasmi Korea, KCNA dan agensi berita Jepun, Kyodo, semalam, melaporkan kementerian terbabit berharap Malaysia akan menyelesaikan sengketa itu yang berpunca daripada insiden kematian Kim Jong-nam, dengan pendirian muhibah membangunkan hubungan dua hala.
Mengulas lanjut laporan itu berkata, semua rakyat Malaysia di negara itu masih boleh menjalani kehidupan seperti biasa seperti sebelum ini.
The Korea Times hari ini melaporkan langkah Pyongyang sebagai ‘mengambil tebusan’ di tengah-tengah ketegangan yang kian memburuk selepas pengusiran kedua-dua duta dari Malaysia dan Korea Utara.
Terdapat spekulasi, mengikut akhbar itu, bahawa Malaysia kemungkinan akan memutuskan hubungan diplomatik dengan Korea Utara yang dimulai 40 tahun lalu.
Agensi berita Xinhua di China pula melaporkan Malaysia dan Korea Utara telah melakukan pengusiran duta terbabit di negara masing-masing.
Malaysia serta-merta melarang kakitangan Kedutaan Korea Utara meninggalkan negara ini, sekali gus menimbulkan teka-teki kemungkinan yang bakal berlaku dalam hari-hari mendatang. – Sarawakvoice
No comments:
Write comments