PENYAMPAI radio segmen Suria Cinta menerusi stesen Suria FM, DJ Lin mengakui tengah mencari lelaki kaya bagi mengisi kekosongan hidupnya selepas sepuluh tahun bergelar ibu tunggal.
Pemilik nama Roslinda Abdul Majid ini menjelaskan pemilihan teman yang mampu memberi kesenangan hidup adalah bertepatan dengan keadaan ekonomi yang begitu mencabar.
Projek Malay Mail Online dalam satu wawancara melaporkan, ibu kepada dua cahaya mata ini menganggap realiti kehidupan kini yang semuanya memerlukan wang dan dia secara terbuka mengakui mencari seseorang yang boleh menyara hidupnya.
“Sudah tentu saya mencari yang kaya. Sebab sekarang ini semuanya memerlukan duit. Inilah realiti kehidupan. Kita tidak boleh menafikannya.
“Dengan keadaan ekonomi sekarang, saya perlu mencari seseorang yang boleh menyara saya, bukan saya menyara dia.
“Daripada saya yang sara, baik saya duduk sendiri. Saya mahu seseorang lelaki yang menghargai dan bertanggungjawab.
“Memang kalau tanya saya, saya mencari lelaki kaya,” katanya yang dipetik dari Projek MMO.
DJ Lin, 40, mengakui ramai yang cuba mendekatinya dan pernah menerima lamaran semasa ke udara.
Bagaimanapun, DJ Lin melihat keutamaannya kini adalah kerjaya dan dua anaknya yang sedang membesar sebelum kembali berumah tangga.
Pemilik suara yang bersiaran setiap Ahad hingga Jumaat ini bagaimanapun tidak menolak sekiranya bertemu jodoh pada tahun ini. – MYNEWSHUB.CC
No comments:
Write comments