Tuesday, 14 March 2017

Imigresen Bantu Militan Demi Wang Atau Misi Daesh?


SEJAK setahun lalu, seorang pegawai imigresen di Lapangan Terbang Sandakan dalam diam-diam menerima bayaran bagi bantu menjamin laluan selamat untuk anggota militan dari Indonesia dan Filipina.

Pegawai wanita berusia 31 tahun itu dipercayai mengaturkan untuk mereka ke Filipina melalui Sabah walaupun tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

“Dia (pegawai wanita) memainkan peranan dalam memberikan akses masuk ke Sandakan untuk mereka yang tidak mempunyai dokumen yang sah, termasuk anggota militan Daesh,” menurut sumber.

Siasatan kini berjalan bagi menentukan sama ada pegawai itu melakukannya demi wang atau sebahagian daripada misi Daesh bagi suspek.

Setakat ini, dikenal pasti bahawa dia telah berjaya membantu tiga anggota kumpulan militan.

Pegawai imigresen berkenaan bagaimanapun akhirnya ditahan pada Khamis lepas.

Enam individu lagi ditahan kerana didakwa ada kaitan dengan Daesh dalam operasi khas selama lima hari yang dilakukan Bukit Aman di Sabah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Rabu lepas hingga Ahad.

Sumber berkata, penahanan suspek di Kota Kinabalu dan Sandakan menunjukkan Daesh secara agresif menggunakan Sabah sebagai laluan transit bagi membawa lebih ramai anggota militan ke selatan Filipina.

“Kumpulan pengganas merancang untuk menjadikan selatan Filipina sebagai pangkalan mereka di Asia.

“Ia juga merupakan destinasi kedua buat anggota militan dari Asia Tenggara yang tidak dapat ke Syria,” jelas sumber.


Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, pegawai itu ditahan bersama dua warganegara Filipina bertaraf pemastautin tetap Malaysia – wanita berumur 53 tahun dan lelaki 40 tahun.

Dua suspek bertaraf pemastautin tetap itu dipercayai membantu penyusupan masuk tiga anggota Daesh Indonesia ke selatan Filipina melalui Sabah.

“Penangkapan dilakukan pada 8 Mac di Kota Kinabalu melibatkan dua lelaki iaitu seorang warga Filipina yang berusia 18 tahun yang merupakan anggota Daesh dan seorang lagi merupakan pemastautin tetap warganegara Filipina berumur 27 tahun,” kata Khalid.

Khalid menjelaskan warganegara Filipina itu merupakan anggota Daesh yang berbaiah dengan Isnilon Hapilon iaitu Amir kumpulan Daesh di selatan Filipina.

Manakala warga Filipina berstatus pemastautin tetap itu pula bertanggungjawab mengumpul dana kepada Dr. Mahmud Ahmad dan Mohamad Joraime Awang Raimee iaitu rakyat Malaysia yang telah menyertai Daesh sejak 2014 di selatan Filipina.

“Turut ditahan ialah seorang mekanik wargananegara Filipina berumur 36 tahun di Sandakan kerana merancang untuk berlepas ke Syria bagi menyertai kumpulan Daesh dan pada 12 Mac, seorang lelaki warga tempatan ditahan di KLIA yang bertujuan menyertai kumpulan Daesh dengan bantuan Abu Fateh yang merupakan anggota kumpulan Daesh dari Sulawesi, Indonesia,” kata Khalid.

Sebelum ini lelaki berkenaan pernah ditahan oleh pihak berkuasa Turki bersama-sama beberapa anggota kumpulan Daesh warganegara Indonesia.

Beliau berkata, ketujuh-tujuh mereka ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA – kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) akan juga disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747). – mStar Online/Mynewshub

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments