Betong: Lelaki hilang disambar buaya ketika sedang mengikat batang rumbia di Sungai Undai, Pusa, di sini, petang tadi.
Kejadian berlaku jam 4 petang ketika Besimilah Rajali, 46, berada di sungai berkenaan bersama rakannya.
Difahamkan, lokasi berkenaan terletak kira-kira 100 meter dari Jambatan Kamlung Tambak Pusa.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.14 petang daripada anggota Balai Polis Betong.
Menurutnya, berdasarkan maklumat diterima, mangsa bersama dua rakannya sedang mengikat rumbia di sungai berkenaan sebelum disambar sang bedal.
Katanya, mangsa menjerit meminta tolong sebelum hilang.
"Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dari Balai Bomba dan Penyelamat Betong sudah digerakkan ke lokasi kejadian.
"Namun setakat ini operasi masih belum menemui sebarang petunjuk positif yang dapat membawa kepada penemuan mangsa," katanya.
Beliau berkata, operasi SAR juga mendapat kerjasama daripada anggota polis dan penduduk kampung berdekatan.
Menurutnya, sebarang perkembangan SAR akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. - Mymetro
No comments:
Write comments