BEIJING – Beliau bukan bintang K-pop tetapi Duta Korea Utara, Kang Chol yang diusir keluar dari Malaysia tetap menjadi buruan media ketika berada di atas pesawat.
Selepas berjaya melepasi asakan pengamal media yang sedia menunggu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Kang Chol mendapati dirinya masih menjadi perhatian semasa menaiki penerbangan MH360 ke Beijing.
Beliau tetap tenang dan diam membisu sepanjang penerbangan selama enam jam pada malam Isnin dengan tidak melayan sebarang percubaan pengamal media yang cuba mendekatinya.
Terdahulu, ketika Kang Chol yang diisytiharkan sebagai persona non grata di Malaysia menghampiri balai perlepas, beberapa penumpang lain mengambil peluang untuk melihat kelibatnya secara dekat.
Seorang lelaki dengan tiba-tiba didengar berteriak: “Keluar Malaysia!”.
Diiringi oleh sekumpulan besar polis dan pegawai berpakaian biasa, Kang Chol dan keluarganya diberi keutamaan untuk menaiki pesawat itu terlebih dahulu kemudian disusuli penumpang kelas ekonomi.
Polis terpaksa menghalang penumpang – mungkin wartawan – mengambil gambar dan video Kang Chol yang duduk diapit isteri dan cucu perempuannya berusia lima tahun di barisan tempat duduk bahagian tengah.
Seorang lelaki yang pada asalnya duduk dekat dengan cucu Kang Chol beralih ke tempat duduk lain kerana melanggar arahan polis walaupun diberi amaran berulang kali.
Kang Chol yang duduk dalam keadaan tenang sambil melihat insiden yang memerlukan campur tangan polis berasa sedikit terganggu dengan perlakuan paparazzi.
Pasukan polis kemudiannya meninggalkan kabin sebelum pesawat berlepas dan anak kapal mengambil alih tugas polis untuk memastikan Kang Chol tidak diganggu media.
Di tengah-tengah penerbangan, isteri Kang Chol pergi ke tandas dan seorang wartawan Jepun mendekati beliau dengan harapan untuk menemuramahnya.
Namun duta berusia 64 tahun itu tetap diam membisu.
Beliau juga tidak cuba untuk mengarahkan wartawan itu untuk kembali ke tempat duduk asalnya.
Anak kapal bertugas kemudiannya meminta wartawan itu untuk segera meninggalkan Kang Chol bersendirian.
Kang Chol yang memakai sut gelap dan tali leher kuning dilihat seolah-olah baharu pulang dari percutian bersama keluarganya.
Beliau mengisi borang ketibaan dan menonton hiburan dalam penerbangan tanpa memakai fon kepala.
Sebaik sahaja pesawat itu mendarat di sini, penumpang diarah untuk kekal di tempat duduk masing-masing sehingga arahan diberikan.
Beberapa seketika, suasana tegang tetapi semua penumpang memberikan kerjasama dan menyedari kehadiran diplomat khas di dalam penerbangan itu.
Penumpang dibenarkan turun dari pesawat dan Kang Chol yang membawa bersama dua bagasi dan keluarganya disambut pegawai Korea Utara.
Beliau tidak mengendahkan sebarang pertanyaan wartawan dan dibawa masuk ke dalam lif.
Seorang pegawai polis China juga mengawal ketat media di ruang tersebut.
Tidak ada penerbangan secara terus antara Kuala Lumpur dan Pyongyang dan Beijing merupakan hentian pilihan untuk penerbangan sambungan.
(Wartawan The Star, Tho Xin Yi yang menaiki pesawat yang membawa Kang Chol ke Beijing mendapati duta Korea Utara yang diusir keluar Malaysia itu tetap dalam keadaan tenang.) – The Star/mStar Online
No comments:
Write comments