Sunday 22 January 2017

Isteri maut ditikam suami

SEMPORNA: Seorang wanita maut selepas ditikam suaminya menggunakan sebilah pedang samurai di sebuah rumah tidak bernombor di Lorong 1, Kampung Pinggir Bakau, dekat sini, awal pagi tadi. 

Dalam kejadian pada kira-kira jam 4.30 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Norminah Bollok, 38, meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Semporna akibat kecederaan parah di bahagian rusuk dan pergelangan tangan. 

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Peter Umbuas,berkata siasatan awal polis mendapati berlaku pertengkaran di antara pasangan suami isteri itu sebelum suspek bertindak mengambil sebilah pedang samurai dan menetak lengan serta pergelangan tangan kanan mangsa. 

“Suspek juga menikam bahagian rusuk kanan dan kiri isterinya sebanyak tiga kali sehingga mangsa jatuh dan tidak sedarkan diri. 

“Selepas menikam isterinya, suspek terus melarikan diri dan sempat membuangkan sebilah pedang samurai bersama sarung, selain membawa beg mangsa yang mengandungi pelbagai dokumen,” katanya dalam satu kenyataan di sini, sebentar tadi. 

Beliau berkata, suspek berumur 50 tahun itu yang bekerja sebagai peraih ikan sedang diburu polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Sayang Sabah

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments