HANYA kerana memikirkan keuntungan, sepasang suami isteri dipercayai sanggup memeluk agama Islam untuk memperdaya pelanggannya bagi melabur dalam perniagaan skim dagangan mata wang asing (forex).
MalaysiaGazette melaporkan, pasangan berketurunan India yang dikenali sebagai Datuk G dan isterinya ‘berlakon’ memeluk agama Islam semata-mata mahu memujuk seorang lelaki Melayu berstatus haji melabur sebanyak RM20 juta ke syarikatnya.
Seorang mangsa Amy Salmiah Dahlan yang mewakili kira-kira 22,000 orang mangsa penipuan Datuk G dan isteri mendedahkan pasangan itu sudah memeluk Islam tetapi masih beragama Hindu sekaligus tindakan itu sudah menghina kedua-dua agama.
“Saya terkilan dan tidak sangka mereka berdua sanggup pergi ke tahap begitu untuk memujuk ‘haji’ itu yang kemudian mengambil RM20 juta dalam sekali transaksi kononnya mahu membantu sahabat-sahabat Islam yang memerlukan menerusi orang kenamaan tertinggi yang dikenali,” katanya.
Jelasnya, jumlah kerugian yang terpaksa ditanggung mangsa selepas melabur dengan pasangan suami isteri itu mencecah RM80 hingga RM100 juta.
Bekas guru agama itu berkata, dia telah melabur sebanyak RM36,000 pada tahun lalu bersama 700 rakan-rakannya yang melibatkan wang sebanyak RM6 juta namun ia lesap tanpa sebarang keuntungan seperti yang dijanjikan.
Sementara itu, tersebar di media sosial video pasangan suami isteri itu memeluk Islam yang dipercayai berlaku pada 2013.
Menerusi dua rakaman video berasingan itu kelihatan Datuk G dan isterinya yang merupakan pelakon tempatan melafazkan kalimah syahadah di hadapan seorang bergelar haji dengan mengangkat satu jari dan duduk bersila sambil berjabat tangan dengan individu terbabit.
Difahamkan, satu laporan akan dibuat esok di Jabatan Agama Islam Selangor di Shah Alam susulan kejadian tersebut. - MYNEWSHUB.CC
No comments:
Write comments