Wednesday, 19 April 2017

Pemandu Wanita Rempuh Polis Positif Dadah


ALOR SETAR – Pemandu wanita berusia 37 tahun yang terbabit dalam kemalangan yang mengorbankan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Baling dan isternya, di Kampung Teluk Teduri, Jalan Baru Kupang-Baling, semalam, disahkan positif dadah.

Ketua Polis Daerah Baling, Supt Sharifudin Yusof berkata saringan awal ujian air kencing wanita tempatan itu disahkan positif dadah jenis methamphetamine.

Wanita tersebut yang memandu Toyota Hilux dan berasal dari Baling itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Baling bagi mendapatkan perintah tahanan reman hari ini, katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kejadian 7.15 pagi itu, ASP Mohd Noor Mat Ayub sekeluarga menaiki Myvi dalam perjalanan menghantar isterinya, Suriya Abdul Rahman, 37, yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Teluk Teduri sebelum sebuah Toyota Hilux dari arah Baling, merempuh belakang kereta mangsa.

Akibat rempuhan itu, kereta mangsa masuk ke laluan bertentangan dan dilanggar sebuah kereta jenis Honda City dari arah Kupang ke Baling menyebabkan suami isteri itu meninggal dunia di tempat kejadian manakala empat anak mereka mengalami kecederaan. – BERNAMA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments