Tuesday, 18 April 2017

Dituduh Salah Laku, Ramai Netizen Back Up Lelaki Ini


SEORANG pemandu bas Rapid Penang meluah kekecewaannya menerusi media sosial ekoran dituduh melakukan salah laku ketika bekerja dengan melibatkan seorang pengguna jalan raya lain.

Individu berkenaan yang dikenali sebagai Firdaus Adenan meluahkan isi hatinya dan turut menafikan telah melakukan perkara tidak baik yang dikatakan salah laku itu seperti yang dituduh oleh majikannya.

Menurutnya, disebabkan dia membunyikan hon terhadap seorang pemandu kereta yang melakukan ‘double parking’, ini menyebabkan pemandu berkenaan tidak puas hati terhadapnya.

“Saya membunyikan hon terhadap pemandu wanita itu kerana dia ‘double park’. Namun, tidak diendahkannya.

“Apabila saya membunyikan lagi hon dengan lebih lama, dia keluar dari kereta dan menunjukkan isyarat lucah,” katanya dalam kejadian 21 Mac lalu itu.

Tidak berhenti setakat itu, Firdaus yang menyangka kejadian tersebut telah berakhir nyata meleset sekali.

“Selepas itu, kami masing-masing meneruskan perjalanan. Sampai di satu lampu isyarat, saya keluar untuk membetulkan papan tanda pada bas.

“Namun, sebaliknya wanita tersebut menuduh saya mahu mencederakannya dan sempat merakam gambar saya ketika itu.

“Wanita terbabit seterusnya melaporkan kepada syarikat bekerja dan hasilnya saya mendapat surat amaran daripada majikan saya yang mendakwa saya mahu mencederakan wanita tersebut.

“Sedangkan hakikatnya wanita tersebut yang maki (menunjukkan isyarat lucah) kepada saya. Wanita tersebut juga tiada bukti menunjukkan saya melakukan perkara yang dituduhnya itu,” terangnya lagi.

Oleh itu, pemandu bas tersebut meminta sokongan daripada para netizen dan menyatakan dirinya tidak bersalah.

Ramai netizen bersimpati dengan Firdaus malah ada yang mengenali pemandu bas tersebut sebagai seorang yang lemah lembut dan juga bersikap baik.

Mereka meminta pihak majikannya agar menyiasat perkara tersebut lebih mendalam dan bukannya mendengar sebelah pihak sahaja.

“Seharusnya juga ada dipasang CCTV agar banyak kejadian penting dapat dirakam dan dijadikan bukti,” ujar seorang netizen.

Namun apa yang kurang menyenangkan ialah apabila terdapat segelintir yang menyelitkan unsur perkauman.

Seharusnya netizen perlu jadi lebih bijak dan membezakan masalah orang perseorangan dan tidak mengaitkannya dengan perkauman.

“Saya orang Cina tapi banyak berkawan dengan orang Melayu. Saya percaya setiap agama ajar kita saling menghormati dan seeloknya ape yang kurang memuaskan dibawa berbincang,” kata Hana Teh.

Kesimpulannya, toleransi antara pengguna jalan raya di negara ini masih lagi boleh dikatakan sangat rendah.

Mereka juga saling menyalahkan antara satu sama lain. Lebih teruk, bila ada yang mengaitkannya dengan hal perkauman.

Sama-sama kita perbaiki lagi toleransi terutama ketika berada di jalan raya. Kita juga doakan yang terbaik buat abang pemandu bas ini agar keadilan untuk dirinya lebih terbela selepas ini. – MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments