Wednesday 8 March 2017

Video Lelaki Mengaku Anak Kim Jong-nam Muncul


SATU rakaman video yang memaparkan seorang lelaki mendakwa dirinya sebagai anak kepada mangsa kes bunuh, Kim Jong-nam mula tersebar menerusi Youtube sejak semalam.

Video eksklusif dimuat naik dengan tajuk KHS Video itu menggunakan nama Cheollima Civil Defence iaitu sebuah kumpulan yang mendakwa menawarkan perlindungan kepada rakyat Korea Utara yang ingin berpaling tadah.

Menerusi video berdurasi 40 saat itu, lelaki berkenaan yang mendakwa dirinya adalah Kim Han-sol itu berkata, bapanya telah dibunuh beberapa hari lalu serta dia kini bersama-sama ibu dan adik perempuannya.

“Nama saya Kim Han Sol, dari Korea Utara, sebahagian daripada keluarga Kim.

“Bapa saya telah dibunuh beberapa hari lalu. Saya sekarang ini bersama ibu dan adik perempuan saya.

“Kami sangat bersyukur….,” katanya dalam video berkenaan, sebelum audio dipadamkan.

Dia kemudian mengakhirinya dengan “Kami harap keadaan akan menjadi lebih baik nanti,”.

Lelaki berkenaan menunjukkan pasportnya sebagai bukti identiti, namun butirannya telah digelapkan.

Walaupun video berkenaan baru dimuat naik pada Selasa, tetapi ia dipercayai telah dirakam lebih awal.


Sementara itu, pemerhatian di laman web Cheollima Civil Defense mendapati terdapat satu kenyataan yang mendakwa kumpulan itu memaklumkan pihaknya bertindak untuk melindungi ahli keluarga Jong-nam.

“Ketiga-tiga ahli keluarganya telah dipindahkan ke lokasi yang selamat,” menurut kenyataan itu.

Kumpulan tersebut turut mendakwa bahawa pihaknya telah menerima permintaan untuk mendapatkan perlindungan dan pemindahan beberapa kali sebelum ini.

“Kami tidak akan dedahkan situasi terkini keluarga Kim Jong-nam.

“Kenyataan ini adalah yang pertama dan terakhir berhubung perkara ini dan di mana lokasi mereka tidak akan dimaklumkan,” katanya.

Kumpulan itu juga mengucapkan terima kasih kepada beberapa negara yang dikatakan telah menyediakan perlindungan kepada keluarga itu.

“Kami mengucapkan penghargaan kepada kerajaan Belanda, China dan Amerika Syarikat serta sebuah negara yang tidak dapat didedahkan kerana membantu keluarga ini,” katanya.

Stesen penyiaran Singapura, Channel News Asia bagaimanapun melaporkan lelaki itu disahkan sebagai Han Sol oleh seorang aktivis antikerajaan Korea Utara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam reaksinya berkata, polis akan meneliti video itu terlebh dahulu.

“Tentu sekali kami akan meneliti video itu, setakat ini tidak dapat disahkan sama ada ia sememangnya dia (Han-sol),” katanya. -MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments