Ak-Dovurak, Repulik Tuva, Russia: Seorang ibu tunggal menikam hingga mati kekasihnya dan isteri lelaki itu sebelum melemaskan dua anak mereka selepas berlaku pertengkaran antara wanita itu dengan isteri kekasihnya.
Menurut polis, Ruzanna Shvarts, 25, mengaku menikam kekasihnya, Vladislav Saaya, 35, yang bekerja sebagai pakar ekonomi dan isteri, Lilia, 35, seorang akauntan.
Wanita itu kemudian melemaskan anak pasangan berkenaan, Darimaa, 6, dan Aisel, 4. dalam tab mandi sebelum kemudian membakar apartmen mangsa bagi menghapuskan bukti.
Anak sulung pasangan itu, Aiza, 12, terselamat kerana tiada di rumah ketika kejadian.
Menurut laporan Siberian Times hari ini, polis mengesahkan Ruzanna ialah kekasih Vladislav dan mengunjungi lelaki itu bersama adiknya, Melina, 19, namun tidak menyatakan tarikh kejadian itu berlaku.
“Mereka minum minuman keras namun isteri Vladislav, Lilia, tiba-tiba pulang bersama anak-anaknya dan berlaku pergaduhan antara wanita itu dengan Ruzanna.
“Melina menegaskan dia sudah meninggalkan rumah berkenaan ketika itu dan apabila kembali, terkejut mendapati kakaknya sudah membunuh keluarga itu,” kata sumber polis.
Menurut seorang wanita di bandar kecil itu, Ruzanna adalah wanita cantik yang bijak dan berasal dari keluarga baik, mempunyai anak lelaki tiga tahun yang tidak dapat dipastikan siapa bapanya.
Polis masih meneruskan siasatan dan wanita itu menghadapi hukuman penjara sehingga 30 tahun. - Mymetro
No comments:
Write comments