Wednesday 8 March 2017

‘Dakwaan Itu Palsu’- Ujar Ratu Cantik Dilucut Gelaran


TERKEJUT dengan penarikan gelaran ratu cantik Miss Malaysia 2016 yang dimenangi, Tatiana Kumar tampil mempertahankan dirinya dengan menafikan segala dakwaan yang dilemparkan pihak penganjur.

Menurutnya dalam satu kenyataan di laman Instagram peribadinya, gadis berusia 18 memberitahu, dia tidak pernah melanggar etika dan kontrak yang ditetapkan penganjur pertandingan tersebut.



“Menamatkan perjanjian dan menyingkirkan saya itu [keputusan] salah dan tidak wajar sama sekali kerana saya tidak melanggar perjanjian atau apa yang dinamakan tata kelakuan itu.

“Lebih penting lagi, dakwaan terhadap saya itu palsu dan tidak boleh diterima. Saya kecewa dengan dakwaan kerana sikap saya sangat profesional sebagai Miss Malaysia World 2016,” tulisnya.

Pada masa yang sama, Tatiana turut menyifatkan tindakan penganjur Datuk Anna Lim menamatkan perjanjiannya sebagai ratu cantik tidak wajar.

Berikutan itu, Tatiana memaklumkan kini sedang dalam perancangan untuk mengambil tindakan undang-undang.

“Saya kini mendapatkan nasihat undang-undang dan akan mendapatkan keadilan undang-undang. Sementara menunggu nasihat undang-undang, saya telah dinasihatkan untuk tidak buat sebarang kenyataan umum lagi pada masa ini,” ujarnya lagi.

Tatiana menerima surat penarikan gelaran ratu cantik itu pada Jumaat lalu.

Terdahulu, Anna menerusi satu kenyataan memaklumkan gelaran Tatiana sebagai Ratu Cantik Malaysia 2016 telah ditarik barik ekoran remaja itu dan keluarganya memberikan komen kurang menyenangkan terhadap penganjur di media sosial.


Difahamkan, ‘komen kurang menyenangkan’ itu berkenaan isu tiket kapal terbang.

Tatiana memenangi gelaran ratu cantik itu sekitar bulan Ogos tahun lalu.


Susulan penarikan gelaran itu, naib juara, Shweta Sekhon, 19, dinobatkan Miss Malaysia World 2016/17 yang baharu. – MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments