APLIKASI ‘tumpang kereta’ Uber dan Grab menjadi pilihan utama orang ramai untuk pergi ke sesuatu destinasi sejak kebelakangan ini.
Walaupun data peribadi setiap pemandu yang berdaftar di bawah syarikat-syarikat antarabangsa ini dikumpul dan disemak bagi memastikan pemandunya dalam golongan ‘orang yang boleh pakai’, namun masih ada yang berani mengambil kesempatan terhadap penumpang mereka.
Baru-baru ini tular satu perkongsian mengenai sikap seorang pemandu Uber yang tidak bertanggungjawab terhadap pelanggannya. Seorang pengguna Facebook dengan nama pengguna Nur Damia Azlan menceritakan pengalaman kawannya, S ketika menggunakan perkhidmatan Uber.
Menurut Damia, pemandu Uber tersebut ada mengirimkan mesej yang berbaur lucah apabila dia seolah-olah mahu ‘melanggan’ S.
“Saya bayar awak malam ini boleh?” kirim pemandu Uber tersebut.
Tambah Damia lagi, pemandu Uber yang memandu kereta jenis Bezza berwarna merah itu sengaja menggunakan jalan yang salah untuk menghantar S pulang ke rumah selepas mengambilnya di sebuah pusat beli-belah di Subang.
Pemandu itu juga turut bertanyakan soalan yang agak peribadi kepada S. Disebabkan S merasa terancam, dia sengaja meminta pemandu tersebut memberhentikannya sedikit jauh dari rumahnya.
Bukan setakat itu, pemandu tersebut dengan beraninya telah menghubungi S sebanyak empat kali dan mengirimkan satu mesej yang berbaur lucah kepadanya.
S membalas mesej tersebut dengan menyatakan dia akan melaporkannya kepada pihak Uber dan juga membuat laporan polis. Namun, pemandu itu telah block nombor telefon S.
Keesokan paginya, S sekali lagi menerima kiriman mesej daripada pemandu itu yang meminta maaf kepadanya. Namun, permintaan maaf itu seakan tidak berguna lagi apabila laporan polis sudah pun dibuat S.
Khabarnya, pemandu Uber tersebut sudah berjaya ditahan oleh pihak berkuasa.
Rupa-rupanya pemandu Uber ini sudah berkahwin. Isterinya dengan rendah diri meminta maaf kepada Damia dan S dan meminta Damia untuk memadam gambar suaminya yang telah dimuat naik ke laman Facebook.
Jadi, kepada semua pengguna kedua-dua aplikasi ini sama ada Uber mahupun Grab, berhati-hatilah. Pastikan anda screenshot maklumat pemandu itu dan hantarkan kepada orang-orang yang dipercayai setiap kali menggunakan perkhidmatan tersebut.
Kepada pemandu pula, hormatilah penumpang anda dan ingat tanggungjawab anda ialah untuk menghantar mereka ke tempat yang ingin dituju. – MYNEWSHUB.CC
No comments:
Write comments