KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warganegara China, yang menyamar sebagai doktor gigi, hari ini dipenjara sebulan dan didenda RM70,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menyediakan klinik pergigian yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Hakim Harmi Thamri Mohamed @ Shaharuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Chen Jianghong, 48, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah menyediakan klinik pergigian swasta yang tidak didaftarkan dengan KKM di sebuah bilik hotel di Wisma Chha Yong Fay, Choon Kuan Pasar Baru, dekat sini pada 10.55 pagi 28 Sept lepas.
Mahkamah memerintahkan Chen, selaku Orang Kena Saman (OKS), menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 28 Sept lepas serta diperintah menjalani hukuman penjara enam bulan, jika gagal membayar denda.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Sesyen 4(1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5(1)(a)(i) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya.
Ketika membuat keputusan itu, Harmi Thamri berkata kesalahan yang dilakukan OKS adalah serius kerana dia tidak mempunyai pengalaman dan kepakaran sebagai doktor pergigian serta membuka klinik yang tidak berdaftar dengan KKM.
“OKS, yang merupakan warga asing, tidak sepatutnya menjalankan rawatan pergigian tanpa sijil pengakuan daripada KKM,” kata hakim itu.
Terdahulu, peguam Tan Teck Yew (he) yang mewakili OKS memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya, yang bekerja sebagai pembantu doktor gigi, merupakan penanggung tunggal keluarga dan perlu menyara ibu bapanya berusia 80 tahun, isteri serta seorang anak berusia lapan tahun yang berada di China.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Khairiyah Samsudin dari KKM memohon hukuman setimpal dengan mempertimbangkan faktor kepetingan awam dan keselamatan pesakit.
“Rawatan pergigian hanya boleh dilakukan oleh doktor yang mempunyai pengalaman dan berdaftar dengan KKM dan dalam kes ini, OKS bukanlah seorang doktor,” katanya.
Beliau berkata tindakan yang dilakukan oleh OKS dilihat tidak menghormati sistem perundangan di Malaysia dan sejak akhir-akhir ini, kejadian itu semakin menular di negara ini.
Nurul Khairiyah berkata pihak KKM juga telah menyelesaikan beberapa kes serupa di beberapa negeri termasuk Kedah, Pahang dan Johor dan dikenakan hukuman denda antara RM250,000 dan RM300,000 oleh mahkamah.
Berdasarkan fakta kes, OKS ditangkap oleh beberapa pegawai dari KKM ketika dia sedang menjalankan rawatan pergigian ke atas seorang lelaki di sebuah bilik hotel.
OKS ketika itu dilihat memakai topeng muka dan berdiri di hadapan lelaki yang duduk di atas kerusi sambil sebelah tangan OSK memegang satu alatan pergigian manakala sebelah lagi tangannya berada dalam mulut lelaki berkenaan.
Hasil siasatan mendapati lelaki yang duduk di atas kerusi itu telah mendapatkan perkhidmatan pergigian (gigi palsu) daripada OKS dan pemeriksaan di dalam bilik itu turut menemui beberapa peralatan pergigian termasuk set gigi akrilik, micromotor bersama bateri dan ‘mouth retractor’.
Hasil semakan dengan Majlis Pergigian Malaysia mengesahkan bahawa OKS bukanlah pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia dan semakan dengan Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta juga turut mengesahkan premis itu tidak mempunyai perakuan pendaftaran, perakuan kelulusan dan lesen dengan KKM. – BERNAMA
No comments:
Write comments