PADA malam Merdeka di Stadium National Bukit Jalil, penyanyi tanah air, Datuk Zainal Abidin adalah antara yang dijemput untuk melakukan persembahan sempena upacara majlis penutupan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).
Walau bagaimanapun, dua bulan selepas tamatnya acara, penyanyi yang popular dengan lagu ‘Hijau’ itu tampil meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap pihak penganjur KL2017.
Memetik laporan Malaysiakini, Zainal berasa seperti tidak diendahkan apabila bayaran persembahannya dan beberapa artis lain sehingga ke hari ini masih belum dilunaskan oleh penganjur.
Zainal menjelaskan bahawa walaupun mereka tidak hanya bergantung kepada satu sumber pendapatan, kerja keras mereka harus dikompensasi seperti dalam perjanjian yang ditandatangani di antara mereka dan pihak penganjur.
“Bukan sekadar menteri yang mahukan kehidupan mewah, kami artis juga mahukan kehidupan yang baik,” luahnya kepada portal tersebut.
Berkongsi sentimen yang sama, penyanyi Adibah Noor Mohd Omar menerusi laman Facebooknya turut mengekspresikan keluhan kecewa yang sama terhadap pihak berkenaan yang dianggap memberikan alasan tidak munasabah.
Bagaimanapun dalam perkembangan terbaharu, keluhan mereka akhirnya telah sampai kepada Kementerian Belia dan Sukan.
Adibah menerusi Twitter memuat naik status mengucapkan terima kasih kepada Ketua Setiausahanya, Datuk Lokman Hakim Ali kerana keprihatinan terhadap isu yang disuarakan. – MYNEWSHUB.CC
No comments:
Write comments