KISAH dongeng yang tertulis di dalam novel cinta sering menjadi idaman terutamanya kepada para gadis muda pada masa kini.
Hinggakan mereka sering menganggap apa yang terjadi di dalam novel itu adalah realiti yang terjadi dalam hidupan seharian sehingga mereka khayal dengan bayangan keindahan itu.
Hanya kerana jalan cerita di dalam novel itu mempunyai sedikit persamaan dengan kisah cintanya, seorang pembantu kedai makan telah bertidak secara liar dengan membunuh suami kepada kekasih gelapnya.
Kejadian itu telah berlaku pada Selasa lalu di Felda Keratong 2, Muadzam Shah dekat Rompin, Pahang.
Suspek berusia 29 tahun itu telah menembak mangsa dengan menggunakan senapang patah buatan sendiri di sebuah premis cuci kereta pada pukul 12 tengah malam ketika kejadian.
Menurut Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azli Mohd Noor, hasil siasatan mendapati suspek telah menjalinkan hubungan sulit dengan isteri mangsa sejak Jun yang lalu.
Suspek dikatakan mengamuk apabila dia mengetahui suami kekasihnya berhasrat untuk membawa si isteri pulang ke Aceh, Indonesia walaupun ketika itu mereka sedang dalam proses penceraian.
“Suspek mengakui tindakannya membunuh suami kekasih gelapnya itu didorong oleh isi kandungan novel cinta tersebut yang ada persamaan jalan cerita dengan apa yang lelaki itu hadapi.
“Malah, suspek ada memberitahu kekasih gelapnya bahawa dia akan bertindak apa sahaja untuk mendapatkan wanita itu,” katanya pada sidang media di Rompin, Pahang semalam dipetik daripada Astro Awani.
Novel yang dimaksudkan telah diadaptasikan menjadi drama di televisyen dan sering menjadi tumpuan penonton kerana lakonan heronya yang dinanti-nantikan.
Tambah Azli, suspek telah melarikan diri ke kampung halamannya di Bedong, Kedah selepas mengetahui bahawa dirinya sedang diburu, namun berjaya ditahan oleh pihak polis di Hentian Rehat dan Rawat Tanjung Malim kira-kira pukul 12:30 tengah malam, Jumaat lalu.
Selepas suspek berjaya ditahan, pihak polis juga telah berjaya merampas novel cinta yang dimaksudkan.
“Suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. – MYNEWSHUB.CC/AH
No comments:
Write comments