KEPANTASAN pemain bola sepak divisyen pertama Liga Indonesia ini yang memecut laju sebelum menjaringkan gol berjaya mencuri perhatian media antarabangsa Daily Mail.
Gergasi media itu menganggarkan larian Terens Puhiri, 21, ketika menjaringkan gol ketiga Borneo FC ketika menentang Mitra Kukar pada 23 Oktober lalu lebih pantas dari pemain sayap Manchester City, Leroy Sana.
Puhiri menyumbangkan satu gol pada minit ke-71 bagi membantu Borneo FC menewaskan Mitra Kukar 4-0 di Stadium Aji Imbut, Tenggarong, Kalimatan Timur.
Dalam artikel yang diterbitkan pada Rabu, larian solo pemain berusia 21 tahun itu dijangka telah mengatasi rekod Leroy yang mencatatkan 35.48 kilometer sejam ketika menewaskan Chelsea 1-0 di Stamford Bridge.
“Disebabkan kekangan teknologi, kepantasan sebenar Puhiri ketika menjaringkan gol ketiga Borneo FC tidak dapat dipastikan, namun mungkin telah mengatasi kepantasan Leroy Sane,” lapor Daily Mail.
Secara perbandingan, Leroy dikatakan mampu menamatkan acara pecut 100 meter dalam masa 10 saat, rekod yang hanya boleh dicatatkan oleh atlet pecut bertaraf dunia sahaja.
Perlu diingat, pemain itu membuat catatan tersebut di atas padang rumput, berbanding atlet olahraga yang berlari di atas trek khas.
Daily Mail turut mengandaikan bahawa akan ada beberapa siri pencari bakat dari kelab Eropah yang mungkin memerhati kemampuan Puhiri selepas ini.
Kini, Puhrini dinilai sebagai pemain bola sepak terpantas di dunia selepas video larian solo dan jaringan gol yang dilakukan di Stadium Aji Imbut, Tenggarong itu menerima pelbagai pujian. – MYNEWSHUB.CC
No comments:
Write comments