Tuesday, 17 October 2017

Penjual Sayur Antara Terawal Guna Sistem ‘Cashless’


SIBU – Penjual sayur Judy Fang mungkin bukan seorang pakar teknologi maklumat, namun dia merupakan salah seorang penjaja yang terawal di negara ini untuk menggunakan sistem tanpa tunai dalam transaksi perniagaannya.

Wanita berusia 55 tahun itu merupakan satu-satunya peniaga dalam 400 peniaga sayur yang lain yang menggunakan konsep e-tunai di pasar segar utama kota Sibu yang mempunyai lebih 1,200 orang peniaga.

Sebelum ini, Judy telah menggunakan sistem konvensional dalam perniagaannya, iaitu dengan menerima wang kertas dan duit syiling daripada pelanggannya.

Namun, segalanya berubah apabila dia mula menghadiri satu forum e-perdagangan oleh sebuah syarikat yang memberi penekanan kepada inovasi perhubungan, penyelidikan dan pembangunan di sebuah hotel tempatan pada 17 September lalu.

“Saya mendapati ianya satu platform yang lebih mudah untuk menjalankan perniagaan. Kini, saya tidak perlu lagi untuk menyediakan banyak wang syiling.

“Kebanyakan orang masa kini mempunyai telefon pintar jadi ianya juga merupakan cara yang lebih bijak bagi mereka untuk melakukan aktiviti pemasaran,” jelas Judy kepada portal Star Online.

Satu lagi kelebihan menggunakan sistem ini adalah masalah tertinggal beg duit bukan lagi menjadi masalah.

Judy kini mempamerkan kod T-pocketnya pada sehelai kertas di gerainya.

“Untuk melakukan pembayaran, apa yang pelanggan perlu lakukan hanyalah mengimbas kod yang tertera dan membuat pemindahan tunai ke dalam akaun T-pocket saya,” tambahnya lagi.

Meskipun majoriti pelanggan Judy masih menggunakan transaksi tunai, namun dia sangat optimistik terhadap masa hadapan dan mahu pihak kerajaan untuk lebih mempromosikan sistem e-perdagangan supaya masyarakat membiasakan diri dengan transaksi dalam talian.

“E-tunai masih baru bagi kebanyakan orang namun saya yakin ianya akan menjadi satu trend yang popular,” kata Judy.

Judy juga berharap agar dengan menjadi peneraju konsep e-tunai, perniagaannya akan bertambah maju dan mampu memberi inspirasi untuk penjaja lain untuk turut sama menggunakan sistem itu. – MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments