WANITA yang didakwa mempunyai hubungan sulit dengan seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini, menggunakan media sosial untuk meluahkan pandangannya mengenai isu itu.
Menerusi akaun Facebooknya, wanita itu meluahkan bahawa punca dia tidak mahu mendedahkan perkara sebenar meskipun didesak banyak pihak adalah atas sebab tidak mahu mengaibkan sesiapa.
“Dalam keadaan marah dan emosi yang tidak stabil, tentunya saya juga berniat untuk melakukan perkara tersebut… Tetapi, Allah telah anugerahkan kewarasan akal dan fikiran tinggi kepada saya untuk memikirkan baik dan buruknya akibat kpd perbuatan yg akan saya laksanakan.
“Cukuplah saya dan bekas suami serta ibu dan bapa sahaja yg tahu apakah punca saya memfailkan permohonan cerai di mahkamah.
“Biarlah seluruh dunia menuding jari kepada saya, namun untuk saya tampil ke hadapan membuat pendedahan tidak sama sekali kerana ia akan hanya memburukkan keadaan dan melukakan hati lebih banyak pihak,” tulisnya.
Video yang berdurasi tiga minit dan tiga saat itu mendakwa wanita tersebut dan suaminya yang sah bercerai pada 28 September lalu di Mahkamah Rendah Syariah Ulu Klang berpunca daripada kecurangan si isteri.
Video itu turut menunjukkan beberapa keping gambar wanita itu yang didakwa mempunyai skandal seks dengan seorang lelaki yang dikatakan pegawai kanan SPRM.
Antara gambar-gambar yang ada dalam video itu termasuklah gambar wanita itu bersama keluarganya termasuklah dua anaknya yang masih kecil.
Video itu turut meletakkan beberapa kepingan klip video lama seorang pegawai kanan SPRM.
Dalam satu klip video itu, pegawai itu dilihat sedang berkomunikasi dengan dengan lelaki dan wanita yang dikatakan berpegangan sesat dan tidak mahu bertaubat. Sebuah lagi klip menunjukkan pegawai itu mendeklamasikan sajak berkaitan integriti.
Beberapa kenyataan yang ditujukan kepada pegawai SPRM terbabit juga dimasukkan dalam video itu, seperti: “Bagaimana anda boleh musnahkan keluarga ini?” dan “Tak kesian ke pada anak-anak mereka?”
Ahad lalu, seorang pegawai pemasaran berusia 37 tahun di Kuala Lumpur membuat laporan polis di Sentul selepas menonton video itu.
Lelak itu menggesa polis menyiasat sama ada dakwaan melibatkan pegawai atasan SPRM itu adalah benar dan jika tindakan selanjutnya perlu diambil.
Dakwaan itu pertama kali dilaporkan akhbar Sin Chew Daily yang melaporkan polis sudah mengesahkan menerima laporan dan kes itu sudah dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Persekutuan Bukit Aman.
Bagaimanapun perkara tersebut enggan diulas oleh pihak SPRM.
Dalam entri Facebook itu juga, wanita itu turut meminta maaf kepada pegawai tertinggi SPRM dikaitkan sebagai punca penceraiannya.
“Perkara ini telah pun selesai dan demi masa depan anak-anak saya perlu teruskan kehidupan seperti biasa, bekerja dan menjaga anak sebaik yang termampu.
“Saya juga mohon maaf beliau dan seluruh keluarga atas perkara ini. Saya hanya mampu mendoakan agar episod duka ini akan berakhir dengan segera,” luahnya lagi. – MYNEWSHUB.CC
No comments:
Write comments