MELAKA – Seorang lelaki warga Bangladesh bukan saja tinggal secara haram di negara ini, malah menjadi dalang sindiket pelacuran yang dinamakan Ohsim.
Dalam serbuan oleh Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, empat wanita termasuk seorang warga tempatan berusia 20-an dipercayai digunakan sebagai pelacur ditahan dalam serbuan jam 2 pagi di sebuah pangsapuri di Taman Kota Laksamana, di sini, semalam.
Sumber berkata, selain wanita warga tempatan, dua wanita Indonesia dan seorang Bangladesh turut ditahan, selain tiga lelaki Bangladesh berusia 30-an.
“Dalang utama iaitu lelaki Bangladesh berusia 30-an turut ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya.
Menurutnya, sindiket terbabit dipercayai beroperasi di sekitar Taman Kota Laksamana lebih dua tahun lalu.
“Mereka sering menukar premis operasi dan kali ini, polis menahan mereka di sebuah rumah di tingkat tiga pangsapuri. Modus operandi adalah pelanggan menghubungi dalang utama atau terus ke premis terbabit bagi mendapatkan perkhidmatan pelacur yang kemudian dilakukan di premis terbabit selain ada juga yang membawa wanita ke tempat lain dengan bayaran RM60 untuk sekali perkhidmatan,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya turut merampas satu kotak dan 19 unit kondom serta buku catatan pelanggan dalam serbuan yang berakhir jam 4 pagi.
Dalam serbuan membabitkan tiga pegawai dan tujuh anggota D7 bermula jam 2 pagi, ada pelanggan yang mengunjungi premis terbabit bagi mendapatkan perkhidmatan pelacuran.
Seorang wanita yang diselamatkan mendakwa meraih RM6,000 sebulan dan dikongsi sama-rata dengan bapa ayam.
Difahamkan, semua enam warga asing yang ditahan tidak memiliki pas perjalanan yang sah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad ketika dihubungi, mengesahkan mengenai tangkapan itu dan suspek kini direman 21 hari mengikut ATIPSOM. – myMetro Online
No comments:
Write comments