Monday, 19 June 2017

Kes Nhaveen: Empat Remaja Didakwa Membunuh


EMPAT remaja lelaki termasuk pelajar tingkatan empat dan lima dihadapkan ke Mahkamah Majistret Georgetown hari ini atas tuduhan membunuh T Nhaveen pada 9 Jun lalu.

Berita Harian melaporkan, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa ke atas J Ragesuthen, 18, dan S Gokulan serta dua tertuduh bawah umur di hadapan Majistret Mohamad Amin Shahul Hamid.

Mereka didakwa membunuh bekas rakan sekolah mereka berhampiran Pusat Pembelajaran Karpal Singh, Jalan Kaki Bukit, Gelugor antara jam 11 malam hingga 12 tengah malam.

Semua mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan.

Mohamad Amin mengarahkan semua tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin dan menetapkan 28 September depan bagi sebutan semula kes.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen Georgetown, keempat-empat tertuduh mengaku tidak bersalah atas dakwaan menyebabkan kecederaan parah terhadap T Previin, 19, yang berlaku pada tarikh sama.

Mereka dituduh menyebabkan kecederaan parah terhadap Previin dengan menggunakan topi keledar di Pusat Pembelajaran Karpal Singh, Jalan Kaki Bukit, Gelugor antara jam 11 malam hingga 12 tengah malam.

Semua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimun 20 tahun serta denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Tiada ikat jamin dibenarkan dan mahkamah menetapkan 21 Ogos depan bagi sebutan semula kes.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Saw Sim dan Nurul Fatin Hussin manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam kejadian itu, lima remaja berusia antara 16 dan 18 tahun dilapor memukul Nhaveen dan rakan baiknya T Previin menggunakan topi keledar.

Nhaveen yang mengalami kecederaan parah turut mengalami kesan koyak pada duburnya akibat ditusuk objek tumpul serta kesan terbakar di bahunya.

Remaja itu yang koma sejak kejadian tersebut meninggal dunia pada 15 Jun lalu dan hasil bedah siasat mendapati Nhaveen yang bercita-cita menjadi ahli muzik itu mati akibat kecederaan di bahagian kepala kerana dipukul dengan benda tumpul. – MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments