JAKARTA – Seorang ketua kampung, Lurah Suhartono atau dikenali sebagai Syekh Nono menjadi popular setelah video memaparkan dia tidur di atas duit menjadi tular menerusi media sosial.
Ketua Kampung Sampangagung di Kecamatan Kutorejo, Kabupaten Mojokerto, Jawa Timur berkenaan namun kini menjadi buruan ramai pemberita tempatan bagi mendapatkan maklumat lanjut dan kesahihan video berkenaan.
Portal berita Detikcom melaporkan, video tersebut menjadi tular selepas disiarkan melalui media sosial dua hari lalu yang memaparkan aksi bersahaja ketua kampung itu tidur di atas timbunan wang kertas di dalam rumahnya sendiri.
Nilai keseluruhan wang berkenaan dianggarkan kira-kira 1 bilion rupiah (kira-kira RM300,000), malahan perkara itu disahkan rakannya sendiri yang juga Ketua Kampung Pesanggrahan, Kecamatan Kutorejo, Mohammad Afif.
“Benar itu adalah Nono, Kades (ketua desa) Sampangagung. Dia pengusaha, miliader (jutawan),” kata lelaki tersebut yang dipetik media tempatan. Kampung berkenaan terletak sekitar 754 kilometer dari ibu kota Indonesia, Jakarta.
Menurut Mohamad lagi, Nono merupakan pengusaha yang berjaya di perkampungan tersebut, bahkan penampilan dirinya yang agak ketara menjadi antara ciri khasnya termasuk pemakaian anting dan bertatu pada tubuh badan.
“Meski gaya tampilan kaya gitu, jiwa sosialnya tinggi. Program pembangunan di Desa Sampangagung, pesat,” ujar beliau dan menyatakan Nono mula menjadi kaya setelah bergelar usahawan kilang pembuatan arak tempatan.
Berita luar biasa tersebut turut disahkan oleh Ketua Bahagian Hubungan Masyarakat dan Protokol Sekretariat Daerah Kabupaten Mojokerto, Alfiah Ernawati ketika dihubungi pihak media. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
No comments:
Write comments