Wednesday, 28 June 2017

Keluarga ini dianiaya pihak hotel, tapi lain orang pula yang meroyan


IPOH, PERAK - "Apa hak pihak hotel boleh sentuh barang peribadi kami?" demikian kata pelanggan hotel yang mendakwa mereka dianiaya seperti tiada maruah.

Dalam kejadian awal pagi hari raya ketiga, Ucu Baah berkata, ini merupakan kali ketiga mereka menginap di hotel berkenaan dan tidak menyangka dilayan sebegitu rupa. 

"Sedih kami, sedih. Di awal subuh pagi raya ketiga, nasib yang menimpa kami.

"8.50 malam 26 Jun lalu, kami daftar masuk di Hotel Bajet Medan Kidd. Jam 10 malam kami keluar untuk beraya di rumah saudara. Lagi setengah jam nak bergerak pulang, adik mendapat panggilan telefon yang pihak hotel mengatakan bilik adik ipar sebenarnya sudah ditempah.


"Jam 12.45 pagi 27 Jun, kami pulang dan terkejut apabila mendapati semua barang adik ipar dan mak mentua diletakkan di laluan kaki lima bilik. Baju mak mentua, makanan bayi serta beg diletakkan merata dan bersepah-sepah seperti menjatuhkan maruah kami.

"Apa hak pihak hotel boleh sentuh barang peribadi kami? Pelanggan yang booking sebelum ini mengarahkan pekerja hotel itu mengeluarkan barang-barang dan diletakkan di luar tanpa menunggu kami pulang dari beraya.

"Yang sedihnya adik ipar hilang duit raya sebanyak RM1,000 untuk diberikan kepada anak-anak saudara. Yang paling sedih pekerja hotel telah menghubungi pemilik hotel dan dia enggan membayar ganti rugi serta tidak mahu bertanggungjawab di atas kehilangan kami.


"Datang ke hotel untuk selesaikan masalah pun tidak. Lagi menambahkan masalah adalah," katanya yang juga berharap orang ramai berhati-hati jika mahu menginap di hotel berkenaan. 

Dalam post itu juga, ucu memuat naik screenshot mesej ugutan dari seorang individu yang mendakwa abang kepada adik angkatnya yang bekerja di hotel berkenaan. 

Lelaki yang mendakwa dirinya sebagai anak buah kepada Ayah Harun, Ayahanda Pekida Kedah itu kononnya adik angkat dan rakan sekerjanya itu tidak bersalah.


"Aku dengar cerita la dari mulut adik angkat aku sendiri cerita sebenarnya. Baik kau cari duit tu elok-elok dan jangan tuduh orang sesuka hati je. Entah-entah kau yang salah letak duit itu dekat mana lepas tu nak tuduh adik aku dengan kawan sekerja dia," katanya yang juga mendakwa adik angkatnya itu tidak tahu apa-apa mengenai kehilangan duit RM1,000 itu.

Dalam mesej itu, lelaki itu memberi amaran pertama kepada Amir agar tidak menimbulkan sebarang masalah kerana dia sagat dikenali di kawasan Ipoh dan Kuala Lumpur. Malah mengajak Amir untuk bertemu di Chow Kit yang merupakan kawasan jajahannya. 

"Kalau kau langgar tempat aku, kau akan mati. Chow Kit, Putrajaya dekat jambatan dan satu lagi kawasan Bukit Aman, jangan sesekali kau buat tahi dekat tempat aku. 

"Lagi sekali aku dapat tau kau tidur dekat hotel bajet mana-mana, lepas itu duit kau hilang berapa ribu ke, juta ke, billion ke, kalau kau buat kecoh, siap kau. Kau tunggu aku cari kau dengan keluarga kau sampai dapat.

"Agak-agaklah bro. Takat RM1,000 ala sikit je bro. Uncle aku Dato' Aliff Syukri orang gaji dia dari Jakarta Indonesia curi duit hampir setengah juta tak buat kecoh pun. Uncle saya buat report polis dan biar polis selesaikan perkara sebenar," katanya. 

Bagaimanapun lelaki itu meminta Amir tidak membalas mesejnya itu kerana nombor yang digunakannya itu adalah nombor adik angkatnya. Malah menegaskan tiada kepentingan untuk Amir menghubunginya.

"Kau bukan orang kaya pun dan kau bukan orang setaraf dengan aku pun," katanya sebelum meminta Amir menjaga keluarganya baik-baik dan meminta maaf kerana menganggu. 

Sementara itu di media sosial, netizen meluahkan rasa geli hati membaca mesej yang dianggap ditulis oleh budak BBNU serta ada beberapa netizen menghantar mesej ke nombor tersebut yang memintanya untuk turun ke Chow Kit dengan kadar segera bagi melihat siapa sebenarnya lelaki yang mengaku dirinya berkuasa sehingga orang di Ipoh dan Kuala Lumpur mengenalinya. 

Bagaimanapun, mesej itu tidak berbalas sehingga kini. - The Reporter

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments