MELIHAT kepada rupa dan penampilannya bertudung labuh, tiada siapa menyangka wanita berusia lingkungan 50-an ini rupanya penyeluk saku.
Menerusi sebuah rakaman video yang tular di laman sosial hari ini memaparkan seorang wanita cuba mencuri dompet mangsanya yang sedang sibuk memilih pakaian semalam.
Dalam kejadian sekitar 2.21 petang di sebuah kedai pakaian di Jalan Tuanku Abdul Rahman di ibu kota, suspek berpura-pura melihat pakaian sebelum menghampiri mangsa bersama seorang lelaki yang sedang leka memilih pakaian digemari.
Suspek kemudian pergi ke belakang mangsa dan cuba membuka zip beg sandangnya tanpa disedari oleh teman lelaki wanita muda itu.
Selesai memilih pakaian, pasangan itu kemudian pergi ke tempat lain dan diekori oleh suspek.
Bagaimanapun, tidak diketahui sama ada suspek ‘berjaya’ mencuri atau melarikan diri selepas kegiatan disedari orang ramai.
Menerusi ruangan komen, Nor Ridah Munir berkongsi pengalaman anak perempuannya baru mengalami kejadian yang sama malam tadi, namun dompetnya berjaya diperoleh semula.
“Anak saya baru kena malam tadi. Dia ambil duit, kemudian dompet disorok dalam timbunan kain. Nasib baik ada yang jumpa dan hantar ke kaunter.
“Menurut anak saya, ‘makcik’ inilah yang mengekori dia sampai tiba-tiba dompetnya hilang sewaktu mahu membuat pembayaran di kaunter,” tulisnya.
Jelasnya, suspek dipercayai aktif melakukan aktiviti jenayah itu sejak tiga hari lalu.
Sebanyak 11 buah dompet berjaya ditemui di sekitar kawasan kejadian namun wang di dalamnya telah diambil suspek.
Difahamkan, suspek masih belum berjaya ditangkap malah aktif melakukan kegiatan samunnya itu.
Orang ramai, terutamanya golongan wanita dinasihatkan agar lebih berhati-hati bila berkunjung dan berbelanja sempena musim perayaan yang hampir tiba. – MYNEWSHUB.CC
No comments:
Write comments