PETALING JAYA: Penyampai radio dan anak kepada individu bergelar Datuk merupakan antara ratusan wanita yang mencuba nasib untuk berkenalan dengan pemuda yang tular dengan misinya mencari jodoh.
Adik kepada pemuda berkenaan, Taufik Khairuddin, 26, berkata, dia dan abangnya menerima banyak mesej daripada wanita yang mahu berkenalan.
Disebabkan lambakan mesej, Taufik memberitahu, dia dipertanggungjawabkan oleh abangnya, Eddy Dzuhairy Khairuddin, 31, untuk membantu menyemak setiap mesej.
“Terlalu banyak mesej dihantar ke akaun Facebook saya dan dia, jadi saya perlu periksa satu persatu. Tak sangka ramai yang berminat, macam-macam ada.
“Dari graduan universiti sehingga golongan profesional, ada juga DJ Radio, anak Datuk, doktor, pegawai bank, pereka fesyen dan eksekutif syarikat penerbangan. Ada juga yang bukan Melayu, malah warga Indonesia dan Thailand turut berminat,” katanya kepada mStar Online namun enggan mengulas lanjut identiti masing-masing.
Selasa lalu, mStar Online melaporkan mengenai Eddy, pemuda yang berasal dari Bahau, Negeri Sembilan sedang mencuba nasib mencari calon isteri dengan bantuan adiknya menerusi ‘posting’ di Facebook sehingga tular.
Menerusi ‘posting’ berkenaan, adiknya menggelarkan Eddy berwajah kacak seperti bintang Bollywood, Shah Rukh Khan namun kebanyakan netizen memberi komen bahawa pemuda tersebut lebih mirip kepada pelakon tempatan, Hans Isaac.
Taufik berkata, semakan dibuat bagi mengenal pasti mereka yang benar-benar serius mahu berkenalan sahaja akan disenarai pendek.
“Memang ramai nak berkenalan, ada juga mesej yang dihantar ibu atau kakak yang mahu memadankan dengan anak atau adik mereka, tapi proses semakan masih sedang dibuat,” katanya.
Sementara itu, Eddy yang kini dianggap sebagai 'lelaki terhangat di pasaran' turut mendedahkan bahawa banyak panggilan dan mesej menerusi aplikasi WhatsApp diterima sejak nombor telefonnya tertera dalam ‘iklan mencari jodoh’ sebelum ia kemudian dipadamkan.
“Terlalu banyak panggilan yang diterima sampai tak sempat saya nak jawab kerana sibuk bekerja. Sampaikan ada orang yang sama ‘call’ saya berkali-kali,” katanya.
Menurut Eddy, ada juga panggilan atau mesej yang diterima hanya mahu memastikan adakah dia adalah lelaki yang mencari jodoh sebagaimana tular di media sosial dan kesahihan iklan tersebut.
Sehubungan itu, pada Khamis, dia tampil mengeluarkan kenyataan di akaun Facebooknya bagi mengesahkan mengenai hasratnya itu.
“Yes bukan gurauan. Saya memang sedang mencari bakal isteri untuk dikahwini. Terima kasih kepada media yang membuat liputan dan sejujurnya tak sangka benda macam ni akan jadi viral.
“Terima kasih juga di atas komen positif dan juga negatif dari orang sekeliling. Untuk makluman saya masih lagi dalam pencarian dan memilih calon. Untuk bakal isteri, tunggu saya ye,” ujar Eddy di Facebooknya. - mStar
No comments:
Write comments