Akibat bertugas selama empat hari tanpa henti, seorang pakar bius meninggal dunia ketika bertugas di sebuah hospital di Jakarta, Indonesia.
Jawapos melaporkan, Dr. Stefanus Taofik dilaporkan meninggal dunia ketika sedang berehat di sebuah bilik di hospital Bintaro Jaya pada Selasa malam.
Stefanus dilaporkan bertugas kerana menggantikan rakan sekerja yang bercuti menyambut Aidilfitri dan dia bertugas di dua lagi hospital berhampiran kerana semua pakar bius di hospital berkenaan bercuti.
Dia sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki berusia setahun.
Kematian Stefanus diumumkan dalam akaun Twitter perubatan Indonesia, @blogdokter yang turut memuat naik gambar doktor muda berkenaan.
“Seorang lagi doktor meninggal dunia saat menjalankan tugas, Dr Stefanus Taofik.
“Seorang pakar bius harus berada di setiap pembedahan di dewan bedah dan kadangkala bertugas sampai pagi,” katanya.
Kematian Stefanus itu turut diratapi dunia perubatan Indonesia serta pengguna media sosial di negara berkenaan.
Stefanus dipercayai mengalami serangan jantung kerana terlalu penat bekerja dan terpaksa bertugas di tiga buah hospital pada masa yang sama.
“Kekurangan rehat dan makan serta minum yang tidak teratur kerana berjuang menyelamatkan nyawa pesakit akhirnya menyebabkan jantungnya sendiri terhenti,” kata seorang pengguna media sosial.
Ramai pengguna media sosial turut mendesak supaya kerajaan menetapkan peraturan jam bekerja untuk doktor bagi mengelak kejadian serupa berulang.
Ada media tempatan Indonesia melaporkan Stefanus meninggal dunia akibat keletihan selepas bekerja dua hari berturut-turut namun siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian. – MYNEWSHUB.CC
No comments:
Write comments