Tuesday, 11 April 2017

Video: United Airlines Seret Penumpang Dalam Pesawat


UNITED AIRLINES menjadi tumpuan media sosial apabila satu rakamanan video memaparkan seorang penumpangnya yang diheret keluar dari pesawat mencetuskan kemarahan netizen

Kejadian yang dirakamkan oleh salah seorang penumpang menunjukkan lelaki berusia 69 tahun itu diseret keluar secara paksa oleh tiga pegawai keselamatan dari tempat duduknya gara-gara tempahan yang berlebihan.

Difahamkan, tempahan tiket yang berlebihan menyebabkan pihak United Airlines meminta segelintir penumpang untuk menangguhkan penerbangan mereka secara sukarela di Lapangan Terbang Antarabangsa O’Hare, Chicago.

Oleh kerana tidak ada sesiapa yang tampil, operator penerbangan terkenal Amerika Syarikat itu terpaksa memilih nama penumpang secara rawak.

Bagaimanapun, salah seorang penumpang yang terpilih itu enggan mematuhi permintaan mereka. Dia kemudian ditarik keluar oleh pegawai keselamatan penerbangan itu.

Menerusi rakaman, lelaki berketurunan Cina itu dilihat seakan-akan tidak sedarkan diri ketika diheret keluar dari pesawat.

Kedengaran penumpang lain berkata, “Oh Tuhan, apa yang kamu buat?” “Cara ini salah,” “Tengok, apa yang kamu sudah buat kepadanya” dan “Kamu pecahkan bibirnya.”


Sementara itu, rakaman kedua memaparkan penumpang itu kemudian lari masuk ke pesawat berkenaan sambil berkata, “I have to go home (Saya perlu balik ke rumah),”beberapa kali.


Dalam satu kenyataan, United Airlines mengesahkan lelaki berkenaan dibawa keluar dari pesawat itu.

“Penerbangan 3411 dari Chicago FSS ke Louisville terlebih tempah. Kami telah meminta beberapa kali secara baik kepada penumpang itu untuk melepaskan kerusinya sebelum pihak berkuasa mengambil tindakan,” kata jurucakap United, Charlie Hobart.

“Kami mempunyai pelanggan lain di dalam pesawat itu untuk sampai ke destinasi mereka dengan selamat. Jadi, kami perlu mempertimbangkan keadaan seperti itu.

“Kami memohon maaf atas tempahan berlebihan,” tambah Hobart.

Sementara itu akhbar Sun-Times melaporkan Jabatan Penerbangan Chicago mengatakan kejadian itu tidak selari dengan prosedur operasi United Airlines dan tindakan anggota keselamatan berkenaan tidak mencerminkan imej jabatan itu.

Beberapa pegawai terbabit telah diarahkan bercuti sehingga siasatan selesai dijalankan. – MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments