Wednesday, 19 April 2017

Jual Tanah Selepas Terpedaya Tawaran Kerja Di WeChat


MUDAH sungguh zaman teknologi kini apabila hanya menggunakan aplikasi media sosial untuk menipu dan mendapat wang dengan mudah.

Terbaru, sekumpulan 18 warga China terpaksa bergadai dan menjual tanah semata-mata mahu menjejakkan kaki ke Malaysia untuk mencari rezeki sebagai pekerja buruh.

Namun, usaha yang dilakukan sia-sia apabila ditipu sindiket yang menjanjikan pekerjaan sebagai buruh di Johor Bahru.

China Press melaporkan, pekerja dari wilayah Hunan, China itu telah membayar antara RM12,700 hingga RM38,300 kepada seorang ejen pekerjaan.

Mereka dijanjikan bekerja di sebuah syarikat pemaju terkenal dengan gaji bulanan sebanyak RM5,745 dan kenaikan gaji sehingga RM8,298 sebulan setelah mereka melepasi tempoh percubaan.

Lebih menyedihkan apabila mangsa ditinggalkan di sebuah tapak binaan pada tengah malam di Johor Bahru selepas mendarat di negara ini.

Dalam keadaan tiada duit, mereka memilih berpatah balik ke Lapangan Terbang Senai di Johor dan bermalam di situ.

Penyeksaan mereka tidak terhenti situ apabila mendapati tiket penerbangan ulang alik yang dijanjikan sindiket menjadi tiket sehala manakala visa kerja pula bertukar menjadi visa pelancongan yang akan tamat pada 24 April ini.

Mangsa, Gu Ren Yi, 55; berkata, mereka terpedaya dengan gaji yang tinggi dan mengetahui mengenai pekerjaan tersebut melalui aplikasi sosial WeChat.

Difahamkan, kedutaan China di Kuala Lumpur sudah dimaklumkan kejadian tersebut dan akan memberi bantuan yang sewajarnya. – MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments