Sunday 22 January 2017

Gaya hidup tingkatkan hormon estrogen

Dominan estrogen atau estrogen berlebihan dilihat sudah menjadi masalah kesihatan yang biasa. Ini adalah kerana kita sentiasa terdedah kepada estrogen bukan sahaja dalam bekalan makanan, malah dalam persekitaran kita.

Daripada makanan harian seperti sumber protein yang kita fikir menyihatkan, alat solek, peralatan rumah yang kita guna setiap hari, hingga udara yang kita hela setiap hari, semuanya mengandungi sumber estrogen yang hadir dalam pelbagai bentuk.

Menurut Dr. Nor Ashikin, jika dibandingkan dengan berpuluh tahun yang lalu, masalah hormon estrogen berlebihan dilihat berlipat ganda pertambahannya kini berdasarkan pada gaya hidup kita yang disifatkan 'semuanya segera'. 

“Remaja perempuan sekarang dilihat semakin cepat mengalami haid pertama mereka pada usia muda seawal sembilan tahun, berbanding zaman dahulu yang lebih lambat. Ramai yang menganggap ia perkara biasa sedangkan ia petanda kepada estrogen berlebihan.

“Cuba kita lihat zaman sekarang dengan 40 tahun sebelum ini. Zaman dahulu, tiada makanan segera, tiada penggunaan bahan kimia, perasa atau pewarna, tiada gajet serta udara yang bersih.

“Sekarang semuanya sudah berubah. Disebabkan mahu cepat dan mudah, lebih ramai yang tidak ambil peduli mengenai tahap kesihatan mereka. Lihat semula bagaimana gaya hidup, jenis makanan yang diambil, produk apa yang digunakan yang menyumbang kepada pelbagai jenis kimia yang berbahaya yang kita tidak sedar.

“Sebab itu jika dilihat zaman sekarang semakin ramai remaja yang mempunyai berat badan berlebihan dan ramai wanita mengalamai masalah sukar mengandung,” katanya yang menegaskan gaya hidup merupakan antara faktor utama berlakunya hormon estrogen berlebihan.

Xenoestrogen

Terang Dr. Nor Asyikin, sebarang jenis estrogen dijumpai di dalam alam sekitar kita (yang bukan daripada sumber makanan) boleh diklasifikasikan sebagai xenoestrogen, yang meniru estrogen dalam badan.

Estrogen hadir dalam bentuk toksin alam sekitar yang kita bernafas setiap hari dan juga dalam toksin yang terdapat dalam produk rumah seperti bekalan pembersihan dan kosmetik. Malah, ia juga didapati di dalam bekas plastik dan botol air.

Ini bermakna, apabila kita minum daripada botol air plastik, atau memakai banyak kosmetik pada wajah, kita menyerap xenoestrogen daripada bahan-bahan ini ke dalam aliran darah kita.

Paling biasa, xenoestrogen yang disuntik ke dalam haiwan ternakan seperti ayam, dan lembu bagi membantu ia membesar dengan lebih pantas dan besar daripada biasa. Ramai yang merasakan ayam yang besar dan kelihatan sihat amat baik sedangkan ia mengandungi bahan yang akan mengganggu paras hormon.

Makanan tertentu juga mengandungi estrogen, yang dikenali sebagai fitoestrogen. Makanan Phytoestrogenic termasuk soya (seperti susu soya, kicap, tauhu dan tempe), serta kacang dan lentil.

Tambahnya, satu lagi sumber estrogen yang kita terdedah dalam persekitaran adalah ubat-ubatan farmaseutikal seperti pil pencegah kehamilan.

“Pelbagai cara lagi boleh dilakukan untuk mencegah kehamilan namun ramai yang memilih untuk mengambil pil pencegah kehamilan kerana mudah dan atas nasihat doktor sendiri. sedangkan ia amat mengganggu hormon dengan menaikkan paras hormon estrogen dalam badan,” ujarnya.

Dr. Nor Asyikin menjelaskan, kebanyakan produk makanan di negara ini juga mengandungi Genetically Modified Organism (GMO) iaitu haiwan atau tumbuhan yang dihasilkan melalui teknik bioteknologi penggabungan gen yang turut dikenali sebagai kejuruteraan genetik.

“Ia adalah proses pengambilan gen daripada satu spesies dan memasukkannya ke dalam spesies lain bertujuan menghasilkan suatu bentuk sifat atau ciri yang diingini,” katanya.

Kesan pengambilan produk makanan yang mengandungi GMO boleh menyebabkan kesan seperti kerosakan sistem imunisasi, ketumbuhan sel berpotensi prakanser, peningkatan kepadatan hati dan sebagainya.

“Seorang wanita bertanggungjawab atas apa yang dimakan ketika mengandung untuk tiga generasinya akan datang,” ujarnya. - Sumber

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments