GARA-GARA bertindak biadap dan memaki hamun dengan menyeru bapa seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang sedang bertugas di Downtown Jalan Reko, Kajang, seorang lelaki dibelasah orang ramai malam tadi.
Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 11 malam apabila lelaki itu bersama pasangannya cuba memasuki jalan masuk yang telah ditutup anggota Rela untuk mengelakkan kesesakan trafik.
Bagaimanapun, pasangan itu tidak mengendahkan larangan itu dan merempuh masuk.
Sumber memaklumkan lelaki itu berlagak samseng dengan memarahi dan memaki hamun anggota Rela hingga menimbulkan kemarahan adik anggota Rela yang berada di lokasi sama.
Berdasarkan video yang tular di Facebook Metafora Anafora sejak malam tadi, lelaki itu dibelasah orang ramai menggunakan topi keledar selain diterajang.
"Kakak Rela menjalankan tugas seperti biasa, jalan yang tak boleh masuk tak payahlah masuk.
"Lelaki ini tunjuk samseng siap maki bapa anggota Rela itu. Minta maaf sudahlah, ini lagi tunjuk samseng cabar orang suruh pukul," tulis Aril Effendi, individu yang memuat naik video terbabit.
Netizen yang melihat rakaman video itu turut berang dengan tindakan pasangan yang disifatkan sombong itu.
"Kalau sebab parking tiada masalah tetapi sampai petik nama bapa siapa tak marah. Kita tak tahu kalau orang tua mereka sudah meninggal dunia," tulis Zety.
Getus salah seorang anggota badan beruniform, Nik Azlan Peei pula: "Kita sebagai anggota beruniform sering dimaki dan kami cakap berhabis lembut tetapi dibalas bahasa kasar. Kadang-kadang buat kita hilang sabar, kita manusia yang ada hati dan perasaan."
Setakat ini video yang tular di Facebook itu telah ditonton lebih 85,000 kali dan lebih 800 perkongsian. - Astro Awani
No comments:
Write comments