DIA mungkin seorang chef selebriti antarabangsa yang kaya-raya namun Gordon Ramsay berikrar untuk tidak memanjakan anak-anaknya dengan kemewahan.
Walaupun mempunyai harta kekayaan bernilai kira-kira £113 juta (RM 623 juta), Ramsay, 50, memberitahu The Telegraph bahawa dia tidak akan membahagikan jumlah itu sama rata di antara anak-anaknya.
Sebaliknya, dia dan isteri, Tana Ramsay, bersetuju untuk menanggung cuma 25 peratus daripada kos bayaran muka apartmen anak-anak mereka. Itu sahaja!
“Harta saya sudah tentu tidak akan diwarisi kepada mereka, dan saya bukan mahu menjadi kejam: saya cuma tidak mahu mereka terlalu dimanjakan,” kata Ramsay kepada akhbar tersebut.
Bukan sahaja itu, malah Ramsay juga meletakkan anak-anaknya– Matilda, 15, kembar Jack dan Holly, 17, dan Megan, 18, – di dalam penerbangan kelas ekonomi manakala dia dan isterinya duduk selesa di kelas pertama.
Berpendapat anak-anaknya “tidak pernah bekerja keras langsung untuk melayakkan mereka dimanjakan dengan kemewahan”, personaliti televisyen itu turut menambah: “Saya dan isteri masuk ke bahagian kelas pertama manakala anak-anak kami masuk ke pintu lain, dan setiap kali saya akan pesan kepada ketua pramugari yang bertugas,’pastikan budak-budak tu tak cari kami langsung, saya mahu berehat dalam kapal terbang ni.’
“Anda akan lebih menghargai sesuatu jika anda bekerja keras untuk mendapatkannya,” jelas Ramsay lagi.
Mahu mengajar anak-anaknya berjimat-cermat, Ramsay beri tiga anak-anaknya yang masih bersekolah duit poket £50 (RM275.66) sahaja seminggu, termasuk tambang bas dan belanja telefon bimbit mereka.
Anak sulungnya, Megan, yang kini belajar di universiti pula hanya diberikan belanja mingguan £100 (RM 551.32).
Senario ini amat berbeza sekali jika dibandingkan dengan sesetengah artis tempatan yang terlalu memanjakan anak mereka dengan wang ringgit, walaupun jelas dan nyata Ramsay berkali-kali ganda lebih filthy rich! – MYNEWSHUB.CC
No comments:
Write comments