Saturday 21 January 2017

Kilang jauh punca bekalan minyak masak di pantai barat Sabah lewat

KOTA KINABALU: Masalah kekurangan kilang pembungkusan semula dikenal pasti punca utama kelewatan bekalan minyak masak sering berlaku di kawasan pantai barat Sabah, termasuk di bandar raya ini. 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata ketika ini hanya satu kilang pembungkusan semula di kawasan pantai barat yang beroperasi di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP). 

Katanya, kilang itu tidak mampu menampung keperluan di seluruh pantai barat negeri ini menyebabkan bekalan perlu diperolehi daripada kilang pembungkusan semula yang beroperasi di kawasan pantai timur. 

“Ketika ini ada 25 kilang pembungkusan semula minyak kelapa sawit di Sabah tapi hanya satu yang beroperasi di pantai barat, manakala 24 lagi beroperasi di Sandakan dan Tawau. 

“Jadi kebanyakan bekalan terpaksa diperolehi dari kilang di pantai timur dan ini menyebabkan bekalan lambat sampai kerana faktor jarak pengangkutan yang jauh dan mengambil masa,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau bekalan barangan keperluan pengguna sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Pasar Raya Servay Likas, di sini, hari ini. 

Yang turut hadir, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Jainab Ahmad dan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sabah, Yahya Sulaiman. 

Hamzah berkata, secara keseluruhan bekalan minyak masak yang diagihkan kepada pengguna di negeri ini adalah mencukupi, namun masalah timbul apabila berlaku kelewatan bekalan di kawasan pantai barat. 

“Ketika ini hanya kawasan pantai barat Sabah yang mengalami masalah ini dan kita akan lihat bagaimana ia boleh diatasi dengan memastikan bekalan dari kilang di pantai timur dapat sampai awal bagi mengelak ketiadaan bekalan di kawasan pantai barat. 

“Apa yang berlaku sekarang ialah apabila bekalan sampai di pasar raya, orang ramai terus berebut beli minyak masak menyebabkannya cepat habis sedangkan jadual penghantaran bekalan lambat lagi,” katanya. 

Katanya, ketika ini penghantaran bekalan minyak masak dari kilang pembungkusan semula di pantai timur ke kawasan pantai barat Sabah dilakukan dua kali sebulan. 

Sementara itu, Hamzah berkata tinjauan pihaknya mendapati barangan keperluan untuk kegunaan pengguna sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang disambut akhir minggu depan adalah mencukupi. 

Katanya, pihak pasar raya juga diingatkan mematuhi peraturan yang ditetapkan termasuk arahan kawalan penjualan minyak masak secara terhad iaitu lima paket seorang bagi dalam bungkusan plastik satu kilogram.

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments