SEREMBAN – Seorang penunggang motosikal mengalami kecederaan serius selepas dirempuh dan digilis sebuah kereta ketika sedang mengisi minyak, minggu lalu.
Dalam kejadian di sebuah stesen minyak di lokasi yang tidak dinyatakan, mangsa yang sedang mengisi tangki minyak motosikalnya secara tiba-tiba dirempuh sebuah kereta Proton Exora berwarna putih.
Dalam rakaman CCTV, mangsa yang tidak sempat berbuat apa-apa terjatuh ke lantai menyebabkan pinggangnya digilis oleh kereta tersebut, malah hampir sekali lagi digilis tayar belakang kenderaan itu.
Pekerja stesen yang melihat kejadian itu, segera datang dan memeriksa keadaan mangsa yang terpaksa merangkak keluar dari bawah kereta tersebut.
Mangsa yang kini sedang menerima rawatan di hospital difahamkan patah di beberapa bahagian termasuk peha dan rusuk.
Di laman Facebook, seorang wanita yang mendakwa dirinya kakak kepada mangsa, tampil menjelaskan kejadian itu.
“Pemandu lelaki (pakcik). Kejadian tiba-tiba, dia nak tekan brek, tertekan minyak.
“Apa-apa pun, kes sudah selesai. Terima kasih kepada semua yang mendoakan adik saya. Kita hanya merancangan, Allah yang menentukan. Amin. Adik beransur baik,”katanya. – MYNEWSHUB.CC
No comments:
Write comments