SEJAK kebelakangan ini kecoh di media sosial tentang isu skim rumah mini banglo murah DBI Properties yang diterajui oleh pelakon, Boy Iman.
Sebelum ini, banyak tanda tanya timbul mengenai syarikat ini. Bukan itu sahaja, malah status doktor falsafah dan pangkat Dato’ yang dimiliki Boy Iman turut dipertikaikan.
Datuk Nassier Wahab selaku duta skim rumah murah itu turut terkena tempias dan kecaman daripada netizen apabila ada pihak yang mendakwa Nassier bersubahat melakukan penipuan tersebut.
Hari ini, Nassier tampil mengeluarkan kenyataan yang dia tidak akan berdiam diri sekiranya memang wujud unsur penipuan dalam syarikat perumahan tersebut.
Menurut Nassier, dia bersetuju untuk menjadi duta syarikat dimiliki Boy Iman itu kerana ingin membantu masyarakat mendapatkan rumah dengan harga yang murah.
“Niat saya menerima tawaran menjadi duta adalah untuk membantu orang ramai mendapatkan rumah dengan harga murah seperti yang ditawarkan DBI.
“Jika benar ada penipuan dalam hal ini, saya tidak akan membiarkan ia berlaku. Itu janji saya!” katanya dipetik mStar Online.
Pelantun suara bagi lagu Memori Cinta Luka ini turut menyatakan kekesalannya apabila ada pihak yang mengganggap dirinya sebagai ‘kambing hitam’ untuk syarikat tersebut.
Tambah Nassier lagi, banyak faktor diambil kira sebelum dia bersetuju untuk menjadi duta syarikat itu, bukan semata-mata kerana wang.
“Saya dah diterangkan mengenai operasi perniagaan sebelum menerima tawaran menjadi duta perumahan itu.
“Malah, saya terima tawaran tersebut kerana sudah menganggap Boy Iman seperti adik saya sendiri, jadi tidak salah saya membantu.
“Kalau saya hanya fikir duit, rasanya tak perlu jadi duta DBI pun saya mampu dapat pendapatan sebanyak itu dengan persembahan nyanyian sahaja,” ujarnya.
Walau bagaimanpun, Nassier tidak dapat mengulas lanjut berkenaan isu ini kerana dia masih berada di Makkah semasa isu ini sedang hangat diperkatakan. Dia juga akan berjumpa dan berbincang dengan Boy Iman mengenai isu yang sedikit sebanyak telah mencalarkan namanya ini.
“Semasa kecoh tentang isu ini saya sedang mengerjakan haji dan tidak mengetahui secara lengkap apa yang berlaku.
“Saya baru pulang dari Makkah pada Sabtu lepas, jadi lebih baik jika saya bertemu dengan Boy terlebih dahulu bagi mendapatkan maklumat sebenar.
“Cumanya, semasa mengerjakan ibadah haji, Boy ada mesej meminta saya mendoakan kesejahteraan syarikat dan permasalahan ini dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.
Diharapkan perkara ini diselesaikan dengan segera dan dapat menjawab segala kesangsian yang timbul daripada orang ramai tentang DBI Properties ini. – MYNEWSHUB.CC/Aisyah Karim
No comments:
Write comments