Saturday 14 October 2017

Kanak-Kanak Parah Jatuh Tingkat 5 Flat


GEORGE TOWN – Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun cedera parah selepas terjatuh dari rumahnya di Tingkat Lima Flat Desa Relau 1 dekat sini hari ini.

N.Keshvin dilapor terjatuh dari tingkap bilik rumahnya ketika dipercayai cuba memanjat tingkap untuk mengalihkan basikal yang tersangkut di ampaian.

Timbalan Ketua Polis Daerah (1) Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Supt Izwan Abdul Karim berkata dalam kejadian pada pukul 1.30 tengah hari itu, kanak-kanak berkenaan dilapor membuka jeriji tingkap bilik itu dan membuang basikal melalui tingkap itu.

“Basikal yang dibuang dari tingkap itu dikatakan tersangkut di ampaian dan kanak-kanak itu cuba memanjat tingkap untuk mengalihkan basikal itu.

“Dia kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang dan keadaannya dilapor kritikal tetapi stabil,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata kanak-kanak itu dilapor terjatuh di kawasan meletak kenderaan flat itu dan ditemui oleh penduduk flat berkenaan.

Izwan berkata semasa kejadian ibu kanak-kanak itu keluar untuk mengambil anak keduanya berusia enam tahun di sebuah tadika di Sungai Ara dan meninggalkan anak bongsu dari tiga beradik itu bersendirian di dalam rumah kerana sedang tidur di bilik utama.

Beliau berkata ibu mangsa hanya mengetahui mengenai kejadian itu daripada jiran yang menghubunginya dan menurut ibunya Keshvin adalah seorang yang hiperaktif. – BERNAMA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments