BARU-BARU ini tular menerusi laman sosial mengenai usaha seorang remaja berusia 21 tahun yang sedang mencari kedua-dua ibu bapa kandungnya.
Mohamad Putera Zainuddin mempercayai dirinya ditinggalkan di sebuah perhentian bas yang terletak di Kampung Megat, Jalan Maran dekat Tasik Paya Bungor, Kuantan, Pahang pada 23 September 1996.
Khabarnya Putera dalam misi untuk mencari semula kedua-dua ibu bapanya yang telah meninggalkannya di perhentian bas berkenaan semasa umurnya dianggarkan baru 10 hari.
Menurut Putera, dia ditinggalkan dalam keadaan yang baik dan berpakaian serta berselimut dan tiada sebarang kecederaan sekali gus menyangkal dakwaan yang dirinya dibuang oleh ibu bapanya.
“Saya rasa saya ditinggalkan, bukan dibuang oleh ibu bapa kandung saya. Jika saya dibuang, pastinya saya dijumpai dengan keadaan yang tidak terurus.
“Pastinya ibu bapa kandung saya sudah menantikan kelahiran saya ke dunia dan saya yakin mereka ada sebab tersendiri mengapa mereka meninggalkan saya.
“Saya tidak mahu berburuk sangka dan ingin mencari mereka. Semenjak tular, saya ada menerima beberapa kritikan negatif.
“Saya tidak marah, saya cuma balas komen negatif itu dengan jelas situasi sebenar. Alhamdulillah, mereka yang pada awalnya kritik, faham dengan keadaan saya,”katanya dipetik laporan Astro Gempak.
Dalam pada itu, ibu bapa angkat penuntut jurusan Diploma Pembantu Perubatan ini iaitu Zainuddin Ahmad dan Saodah Mahmood turut memberi sokongan kepada anak angkatnya itu dalam pencarian keluarga kandungnya.
“Pada mulanya, ibu bapa angkat saya seakan-akan tidak bersetuju. Tetapi lama kelamaan, mereka menyokong usaha saya untuk sama-sama mencari kebenaran.
“Mereka tetap saya anggap sebagai ibu bapa yang membesarkan saya. Saya sangat terharu kerana mereka memberikan semangat serta dorongan untuk saya mencari ibu bapa kandung,” ujarnya.
Menurut perkongsian di laman Facebooknya, Putera menyatakan yang dia bakal berjumpa dengan individu-individu yang pernah membantunya suatu ketika dahulu pada 15 Oktober ini di Gambang, Pahang.
Remaja ini telah dijaga oleh keluarga angkatnya sejak berusia sembilan bulan lagi. Diharapkan pencarian Putera untuk berjumpa dengan ibu bapa kandungnya dipermudahkan.
Jika ada sesiapa yang mempunyai sebarang informasi boleh menghubungi Putera melalui talian 012-3440420. – MYNEWSHUB.CC/Aisyah Karim
No comments:
Write comments