PERNAHKAH anda ditegur oleh penjual yang berada di ruang legar pusat membeli belah dan diberikan hadiah percuma? Bukan sekadar hadiah, anda juga akan diberikan tawaran hadiah yang lumayan dengan hanya membeli beberapa produk yang kononnya lebih murah berbanding harga asalnya.
Baru-baru ini seorang warga emas kerugian RM3,988 selepas diperdaya penjual di sebuah pusat membeli belah Tesco di Mutiara Damansara, Ahad lalu.
Kejadian ini dikongsikan Norhaliza Mohd Nor di Facebook yang menceritakan detik kedua ibu bapanya ditipu oleh peniaga selepas ‘dihadiahkan’ sebuah beg membeli belah.
Menurutnya, kedua ibu bapanya diminta untuk menulis nama selepas menerima ‘hadiah’ percuma itu dan kemudian ditunjukkan satu set penyedut hampagas, namun mereka tidak membelinya.
“Kemudian salah seorang salesgirl (dikenali dengan nama “Bella”) memberikan satu gadget kepada ibu saya. Ibu saya disuruh menekan pada skrin di gadget tersebut. Gadget yg sama diberi kepada ayah saya, dan disuruh untuk lakukan yang sama. Ayah saya telah memenangi 2 barang percuma iaitu penyedut hampagas yang dikatakan bernilai RM3,680 dan microwave yang dikatakan bernilai RM3,988.
“Ayah saya diberikan gadget tersebut untuk menekan sekali lagi. Kali ini ayah saya mendapat bonus sebanyak RM100, yang sekaligus melayakkan ayah saya mendapat sebuah water dispenser yang boleh digunakan secara percuma selama 3 bulan. Kalau berminat, Julai nanti baru mula bayar sebanyak RM80 sebulan selama 48 bulan,”tulisnya.
Jelasnya, keadaan bertambah rumit apabila jurujual melihat kad kredit milik ayahnya dan terus menggunakan kad tersebut untuk membuat pembayaran.
“Kemudian ayah saya ditanya samada beliau ada memiliki apa2 kad kredit. Terus terang kat sini saya pun tak faham macamana ayah saya boleh keluarkan walletnya.
“Si Bella tadi ternampak kad kredit HSBC dan terus mengambil dari tangan ayah saya. Seorang lagi salesgirl bertanya kepada ayah saya, sudah berapa lama kad kredit HSBC itu digunakan kerana menurut mereka, kalau lebih daripada 2 tahun, ayah saya layak mendapat satu multi-cooker secara percuma. Wah! Percuma lagi!
“Entah bila masa kad tu di”swipe” pun tak tahulah. Tiba-tiba ayah saya diberikan beberapa dokumen untuk ditandatangani. Bila pulang ke rumah, dan meneliti terma dalam dokumen tersebut barulah ayah saya sedari bahawa dirinya telah ditipu dan wang sejumlah RM3,988 telah dicaj ke kad kreditnya,” tulisnya.
Jelasnya, lebih memeranjatkan apabila kedua ibu bapanya bersetuju untuk belanja makan kepada penyelia dan jurujual itu selepas menandatangi dokumen yang diberikan mereka.
Norhaliza yang mengetahui kejadian tersebut cuba mendapatkan penjelasan dan meminta penjual tersebut untuk membatalkan transaksi namun penyelia dan jurujual itu enggan melakukannya.
“Kami tetap bertegas bahawa ayah saya telah ditipu (misled) dan mereka telah menipu ayah saya. Tiada disebut ayah saya perlu membayar atau membeli apa-apa tetapi wang telah diambil,” tulisnya.
Susulan kejadian itu, mereka sekeluarga membuat laporan di Balai Polis Taman Tun Dr. Ismail untuk tindakan selanjutnya pada petang hari kejadian.
Nasib berpihak kepada Norhaliza dan keluarga apabila penyelia dan jurujual itu ditahan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan dikatakan akan didakwa atas kesalahan menipu.
Norhaliza turut berpesan kepada orang ramai untuk tidak mengambil barang yang dihulurkan peniaga ini dengan alasan percuma.
“Tiada perkara yang percuma dan mesti ada helahnya. Tambah-tambah masa zaman ekonomi meleset seperti sekarang,” tulisnya.
Perkongsian Norhaliza ini mendapat perhatian netizen dengan lebih 19,224 kali dikongsi.
Menerusi ruangan komen, netizen mendakwa sindiket penipuan ini mensasarkan warga emas dan dipercayai menggunakan kaedah pukau untuk memperdaya mangsa. – MYNEWSHUB.CC
No comments:
Write comments