Thursday, 4 May 2017

Ugut Ada Bom Kerana Tidak Puas Hati Had Bagasi


ALOR SETAR – Insiden ugutan bom yang berlaku di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) semalam dilakukan gara-gara sepasang warga Turki tidak berpuas hati kerana permintaan untuk menumpang had berat bagasi mereka ditolak.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Mohd Rozi Jidin berkata pihaknya menerima laporan tersebut yang berlaku pada 7.50 malam di kaunter daftar masuk bagasi syarikat penerbangan Malindo Air untuk penerbangan ke Subang pada 9 malam.

“Insiden berlaku apabila, Uysal Mucahit, 23, dan Yegin Merve, 28, yang mahu menaiki penerbangan ke Subang tidak berpuas hati kerana timbangan bagasi mereka melebihi had dan hasrat untuk menumpang had berat seorang penumpang di kaunter sebelahnya ditolak kerana berbeza pesawat dan destinasi.

“Oleh kerana tidak berpuas hati, lelaki warga Turki itu mengatakan kepada penumpang tersebut terdapat bom di dalam bagasinya.

“Penumpang tersebut telah meminta petugas kaunter bertanyakan semula kepada suspek mengenai isi dalam kandungan begnya selepas suspek mengatakan terdapat bom di dalam begnya. Petugas kaunter bertindak menghentikan daftar masuk bagasi dan menghubungi pihak keselamatan lapangan terbang,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Rozi menjelaskan, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian tersebut dan telah membuat tangkapan ke atas pasangan Turki berkenaan sebaik tiba di lokasi.

Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Kontinjen Kedah turut bergegas ke lokasi dan membuat siasatan lanjut manakala Pasukan Bomba dan Penyelamat bersiap sedia dalam jarak selamat.

Bagaimanapun, pasangan Turki tersebut dibebaskan pada 1 pagi tadi dan siasatan mendapati kedua-dua mereka mempunyai pas lawatan yang sah dan datang ke Kedah atas urusan kebudayaan.

Dalam pada itu, pihak pengurusan Lapangan Sultan Abdul Halim (LTSAH) mengesahkan insiden ugutan bom palsu yang diterima mereka pada 10 malam tadi sudah selesai dan semuanya mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Pengurus LTSAH Puteh Ramli berkata penumpang juga tidak panik memandangkan semuanya dalam keadaan terkawal.

“Tiada masalah sebenarnya dan siasatan selepas menerima laporan tersebut dijalankan mengikut SOP yang ditetapkan. Aktiviti di lapangan terbang berjalan seperti biasa termasuk jadual penerbangan,” katanya ketika di hubungi Bernama hari ini. – BERNAMA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments