Saturday, 27 May 2017

Pelancong China Tayang Duit Dalam Bas


SIAPA yang tidak suka jika melancong dengan duit berkepuk-kepuk di tangan? Sudah tentu pelbagai barangan mewah dapat dibeli selain menjadikan percutian anda serba mewah.

Tetapi itu bukanlah satu impian buat sekumpulan pelancong dari China ini kerana mungkin mereka dapat menikmati percutian dengan serba mewah apabila dengan gembiranya menayangkan mata wang ringgit Malaysia.

Insiden pelik itu dilaporkan berlaku semasa mereka menaiki sebuah bas persiaran baru-baru ini sehingga rakaman video aksi tersebut menjadi tular menerusi media sosial.

Ia memaparkan sekumpulan pelancong China dengan angkuh menggenggam beberapa ikatan mata wang ringgit Malaysia dan ini sekali gus menimbulkan tanda tanya.

Menerusi rakaman itu, kelihatan seorang wanita yang memakai cheong sam warna putih dan topi kuning merakam video yang berdurasi selama 59 saat di dalam sebuah bas.

Dia turut bercakap kepada penumpang kenderaan tersebut, dipercayai pelancong dalam bahasa Mandarin.


Kemudian, seorang penumpang lelaki menunjukkan segenggam wang RM50 yang diikat menggunakan getah kepada kamera wanita itu sebelum aksinya itu ditiru pula oleh penumpang-penumpang lain.

Dalam pada itu, satu lagi rakaman video yang berdurasi 10 saat pula menunjukkan sebuah bilik dipenuhi dengan wang RM50 dan RM100 yang dikeluarkan daripada beberapa kotak.

Dipercayai terdapat tiga individu termasuk lelaki yang merakam video tersebut berada di bilik berkenaan untuk menyusun semua wang itu.

Menurut seorang pengguna Facebook, Zaidi Saad, dia membuat terjemahan perbualan lelaki dalam rakaman video berkenaan menurut pemahaman bahasa Mandarin yang dipelajarinya.

“Esok dan lusa kami sekeluarga dari China akan pergi ke Malaysia untuk membeli emas. Tengoklah, inilah perbelanjaan kami,” tulisnya.

Kata Zaidi, tidak dinyatakan sama ada wang tersebut adalah duit palsu dan dia meminta netizen agar mengelakkan diri daripada berprasangka buruk yang boleh mengundang fitnah.

Menerusi komen, ada netizen yang berpendapat kumpulan pelancong itu menyertai skim cepat kaya dan sengaja menayangkan kemewahan mereka untuk mengajak orang ramai menyertai skim tersebut.

Ada netizen juga menganggap wang tersebut bukanlah wang palsu tetapi hasil daripada penyertaan mereka dalam satu skim cepat kaya.

“Ini bukan duit palsu… Tapi hasil profit share dari skim yang depa join..member bagitau MFace.. Selalu investor2 dari Taiwan, China dan Singapore turun sini,” tulis Izaad Shahril Ali.

Malah, ada juga netizen menganggap perkongsian video tersebut yang menjadi tular kini boleh mengancam keselamatan pelancong dari China itu.

Bagaimanapun, netizen mahukan pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berhubung video tersebut kerana bimbang wang tersebut adalah palsu.

Sementara itu, Sin Chew Daily melaporkan jumlah pelancong China yang menjadi mangsa rompakan ketika berada di Malaysia semakin meningkat terutama dalam tempoh empat bulan terakhir ini.

Menurut perangkaan dikeluarkan pejabat kedutaan China di Kuala Lumpur, sekurang- kurangnya 90 kes rompakan setiap bulan membabitkan pelancong China dilaporkan sepanjang empat bulan terakhir ini.

Ia dipercayai berjaya dilakukan oleh ahli sindiket yang berasal dari rantau Amerika Selatan. – MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments