KUALA TERENGGANU – Susulan menjadi tular gambar perbualan Facebook seorang pelanggan dengan pemilik kedai yang tidak berpuas hati dengan harga hidangan yang dikenakan, pemiliknya tampil memberi penjelasan.
Bercakap kepada Harian Metro, Liza Musid, 25, pemilik Warung Aziz Satar di Kampung Geliga Baru, kesal dan kecewa dengan tindakan pelangannya, Syed Ikram, yang menyebarkan perkara itu di media sosial sehingga dia menerima kecaman teruk oleh netizen.
Liza tidak menafikan harga sepingan nasi dan lauk diambil berharga RM32, namun menganggap lelaki itu berniat jahat mahu menjatuhkan perniagaannya.
“Cuma apa yang saya kesal dan kecewa tindakannya itu kerana setiap menu makanan dijual di kedai ini diletakkan tanda harga dengan cetakan huruf besar pada kain rentang di atas tempat makanan.
“Pelanggan boleh memilih lauk pada harga yang disediakan itu kerana ada yang murah dan ada mahal mengikut jenis makanan,” katanya.
Menurut Liza, tidak semua makanan yang disediakan di warung itu mahal, tetapi dia mengakui udang galah dan sotong memang harganya tinggi berdasarkan harga mentahnya.
“Harga sekilo sotong di pasar ketika ini ialah RM27 yang hanya dapat tiga sotong bersaiz besar, manakala udang galah pula RM65 sekilo untuk lapan ekor.
“Apabila dimasak, tentulah harganya mahal dan saya sudah letak tanda harganya untuk rujukan pelanggan,” katanya.
Jelas Liza, pelanggannya yang mendakwa harga mahal itu mengambil seekor udang galah gred A dengan harga RM15 seekor, dua potong sotong dengan harga RM14, RM2 untuk nasi putih dan RM1 bagi sayur kangkung, menjadikan jumlah keseluruhannya RM32.
Pihaknya lebih kesal kerana pelanggan berkenaan mendakwa tidak perasan harga udang dan sotong yang dipamerkan pada kain rentang itu.
“Selain itu, pelanggan terbabit seperti menyembunyikan sepotong lagi sotong dalam pinggan nasi diambilnya dan saiz udang galah gred A kelihatan kecil berbanding saiz sebenar dalam gambar yang disebarkan itu.
“Tidak semua harga makanan yang saya jual di kedai ini mahal. Harga nasi campur dengan lauk sayur yang dimakan rakan dia hanya RM8 berbanding dengan dia sendiri,” katanya.
Sementara itu, Syed Ikram pula berkata, harga yang tertulis di kain rentang tersebut adalah harga untuk seekor, bukannya untuk seketul.
“Maaf ye, gambar harga di gerai itu sebenarnya memaparkan harga seekor sotong RM7, bukannya seketul sotong RM7.
“Berniagalah dengan ikhlas, janganlah nak menegakkan benang yang basah,”katanya menerusi laman Facebook. – MYNEWSHUB.CC
No comments:
Write comments