JAKARTA – Dua ledakan bom selang lima minit di kawasan terminal bas awam Transjakarta Kampung Melayu, Jakarta Timur, lewat Rabu memang disasarkan khusus kepada pihak polis.
Ia jauh berbeza dengan serangan pengebom bunuh diri di Manchester, England pada Isnin lalu yang menyasarkan sejumlah penonton konsert penyanyi Ariana Grande sehingga meragut puluhan nyawa dan ratusan lain pula cedera.
Secara kebetulan, sebelum insiden letupan di pinggir ibu kota Indonesia itu bermula jam 9 malam (10 malam waktu Malaysia), penduduk setempat mengadakan perarakan ‘pawai obor’ sempena menyambut kedatangan Ramadan.
Akibatnya, sepasukan polis yang sibuk mengawal acara tahunan kemasyarakatan di situ dan orang awam turut menjadi mangsa dengan lima disahkan maut termasuk tiga anggota polis dan dua pengebom bunuh diri tersebut.
Insiden yang tidak dijangka itu juga menyebabkan 10 cedera termasuk lima anggota polis. Menurut penganalisis terorisme tempatan, Harits Abu Ulya, kumpulan pelampau Indonesia kini mula menyasarkan pihak polis sendiri.
Kelompok pengganas tempatan malah ujar beliau lagi kepada akhbar berpengaruh KOMPAS, memang sudah lama menyimpan dendam terhadap pasukan polis yang giat melancarkan operasi ke atas kumpulan radikal tertentu.
“Kalau ada mangsa orang awam, sebenarnya itu akibat impak letupan saja. Ini lebih kepada soal dendam. Banyak kes sebelumnya mereka berasa rugi kerana banyak teman yang dibunuh dan ditangkap polis,” jelas Harits.
Motif serupa sudah banyak ditemui di pelbagai kawasan lain di seluruh negara seperti di Bandung, Jatiluhur dan Serpong. Mereka menyasarkan khusus fasiliti milik pihak polis seperti pos keselamatan dan balai polis kecil.
Justeru kejadian pengeboman di stesen bas Kampung Melayu, yang terletak dalam mukim Jatinegara, pengganas terbabit sengaja menyasarkan kegiatan komuniti setempat yang terpaksa dikawal oleh sejumlah petugas polis.
Kawasan majoriti etnik Melayu ini yang sering mengalami banjir kilat akibat limpahan sungai Ciliwung sejak zaman penjajahan Belanda, memiliki keluasan 48 hektar terdiri daripada 114 Rukun Tetangga dan lapan Rukun Warga.
Harits menyatakan, pada kelazimanya kelompok militan mempertimbangkan sasaran yang paling mudah dijangkau. Selain adanya niat dan nekad, faktor peluang juga termasuk dalam perhitungan operasi pengeboman mereka.
“Bagi pengganas, manakah yang paling mudah dengan keterbatasan yang mereka miliki dan momentum yang luas. Sementara pihak polis juga agendanya sedang sibuk mengawal program kemasyarakatan setempat,” kata beliau.
Menurut Harits, selain misi ingin balas dendam ke atas polis, teroris menyasarkan tempat ramai orang berkumpul untuk menunjukkan kehadiran mereka secara tidak langsung sekali gus menggerunkan pihak berkuasa sendiri.
Seolah-olah pengganas terbabit ingin menunjukkan kepada khalayak awam, khususnya polis, bahawa mereka masih berkeliaran di luar meskipun sudah banyak rakan mereka dihancurkan oleh skuad elit polis, Densus 88.
Secara umum, ujar beliau lagi, misi utama mereka memang mahu menebarkan rangkaian keganasan dan ketakutan dalam kalangan masyarakat di samping ingin menunjukkan bahawa mereka masih aktif hidup subur.
Dari segi pola aksi letupan, Harits menjangka pengeboman di Kampung Melayu masih ada kaitan dengan kelompok Daesh malah “mereka hanya komuniti cair daripada kelompok yang terafiliasi Daesh.” – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
No comments:
Write comments