Friday, 26 May 2017

Penyanyi terkenal Jepun hilang pendengaran


BINTANG pop Jepun, Ayumi Hamasaki disahkan sepenuhnya hilang pendengaran kedua-dua telinganya, dedah penyanyi itu menerusi blognya Team Ayu.

Ayumi artis solo Jepun yang pernah dinobatkan artis solo paling laris sepanjang zaman mengalami pekak di telinga kirinya sejak tahun 2008 dan berdepan situasi yang sama di telinga kanannya tahun ini.

Menurut Ayumi, 38 tahun, dia sering mengalami loya dan pening sebelum konsert jelajah tahun ini.

"Selepas pelbagai ujian pendengaran, saya dimaklumkan telinga kanan (yang telah mengimbangi pendengaran selepas telinga kirinya pekak) semakin lemah.

"Saya sering berasa pening. Saya tidak boleh berjalan dengan lurus dan sering muntah di dalam tandas ketika berada di studio latihan," tulisnya.

Penyanyi prolifik dan penghibur terkenal itu berkata, dia berasa kehilangan selepas mengetahui perkara itu.

"Saya masih tertanya-tanya, bagaimana sebagai penyanyi berdepan dengan masalah pendengaran. Saya berasa dunia saya gelap," katanya.

Masalah pada telinganya dikesan bermula dia mengalami demam dan jangkitan pada telinga ketika konsert jelajah 2000 Act I, namun dia tetap meneruskan siri jelajah selepas beberapa hari berada di hospital.

Doktor telah menasihatkannya untuk mengurangkan pendedahan terhadap bunyi yang kuat namun dia tetap tidak membatalkan atau menangguhkan siri jelajahnya.

Malah dia terus bekerja pada tahun-tahun selepas itu. Pada tahun 2008, dia disahkan pekak di telinga kirinya.

Menurut bintang pop Jepun itu, walaupun dia berdepan situasi sedemikian, dia berjanji akan terus melakukan persembahan. - Sinar Harian

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments