PETALING JAYA – Kerana disangka cuba membunuh diri, seorang wanita ‘diselamatkan’ oleh anggota bomba dalam kejadian di Kondominium Centrestage, Seksyen 13 di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam kelmarin, penduduk di kondominium terbabit bertindak menghubungi bomba selepas melihat wanita itu berada di tepi koridor tingkap.
Bagaimanapun, ‘mangsa’, Vuong Thi Huang, 23 yang diselamatkan sebaliknya mendakwa hanya duduk berehat di situ sambil mengambil angin malam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Penchala, Mohammad Akmal Mohamad Khairi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 11.38 malam.
“Sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi sebaik sahaja laporan diterima. Setibanya di lokasi kejadian wanita itu dilihat berada di ruangan koridor sebelum anggota pergi ke rumah sewa gadis itu,” katanya.
Bagaimanapun katanya, gadis berkenaan terpinga-pinga sebaik sahaja melihat ketibaan anggota bomba dan memberitahu dia hanya duduk di koridor untuk berehat.
“Wanita terbabit yang menyewa bilik di rumah berkenaan tidak sangka perbuatannya itu mengundang masalah kepada semua pihak,” katanya. – MYNEWSHUB.CC
No comments:
Write comments