Palembang: Seorang lelaki bertindak kejam apabila menikam kekasihnya sendiri hingga mati selepas hasratnya untuk berkahwin dengan wanita itu ditolak keluarga mangsa.
Lelaki berkenaan, Suyanto, 24, dilaporkan pergi ke rumah kekasihnya, Sonya, 19, di Sukawinatan di sini kelmarin untuk bertemu ibu wanita itu.
Kakak Sonya, Fatimah, 33, berkata, Suyanto yang juga pelajar Universiti PGRI di Palembang menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan adiknya yang belajar di Universiti Bina Darma juga di Palembang.
“Bagaimanapun, ibu memberitahu dia tidak bersetuju dan tidak merestui perkahwinan mereka.
“Ibu berkata, jika mahu melamar datang secara baik ke rumah,” katanya yang dipetik akhbar Sriwijaya Post.
Ujarnya, kerana terlalu marah, Suyanto terus menarik Sonya ke dalam sebuah bilik dan terjadi pertengkaran antara mereka.
“Tidak lama selepas itu kami mendengar suara Sonya meminta tolong dan terus memecah pintu bilik sebelum melihat Suyanto sedang memangku adik saya yang berlumuran darah.
“Kami terus membawa Sonya ke hospital tetapi dia disahkan sudah meninggal dunia,” katanya.
Menurutnya, Suyanto yang melarikan diri selepas itu memang ada konflik dengan ibunya.
Sementara itu, jurucakap polis Yon Edi memberitahu, bedah siasat mendapati mangsa maut akibat ditikam dengan pisau sebanyak empat kali pada badan dan dadanya.
“Suspek berjaya ditangkap beberapa jam selepas keluarga membuat laporan polis mengenai kematian mangsa.
“Lelaki itu ditahan untuk siasatan lanjut dan didakwa atas tuduhan membunuh,” jelasnya. – Agensi/HMetro
No comments:
Write comments