Monday, 1 May 2017

Menteri Hadiahkan Kayu Untuk Pasangan Wanita Baru Berkahwin


New Delhi: Seorang menteri di Madhya Pradesh memberi hadiah perkahwinan pelik tetapi amat berguna untuk hampir 700 pengantin wanita yang dikahwinkan beramai-ramai di Bhopal iaitu kayu pemukul untuk membelasah suami mereka jika mabuk. 

Kayu dikenali sebagai mogri itu secara tradisional digunakan untuk membasuh baju, tetapi menteri terbabit, Gopal Bhargava berkata, ia berguna sebagai senjata untuk mengajar suami yang kaki botol dan enggan berubah.

Malah mogri itu turut tertulis kata-kata ‘hadiah untuk kaki botol, polis tidak akan masuk campur.’

Bhargava yang juga menteri negeri bagi pembangunan luar bandar mengakui hadiahnya luar biasa dan mungkin menimbulkan tanda tanya segelintir pihak. 

“Namun saya sering mendengar aduan wanita yang dipukul suami mabuk. Itu perbuatan buruk dan disebabkan itu saya menghadiahkan kayu pemukul sebagai peringatan untuk semua pihak. 

“Setiap kali saya melawat kawasan pedalaman, itu aduan yang sering diterima. Wanita sering mengadu wang hasil titik peluh mereka dirampas suami untuk membeli arak. Sudahlah begitu, mereka turut dipukul. 

“Saya mendapat idea ini selepas seorang wanita bertanya sama ada menggunakan mogri mampu mengubati ‘penyakit’ suaminya,” katanya. 

Disebabkan itu, Bhargava menempah 10,000 mogri untuk wanita yang menjadi mangsa suami kaki botol. 

Dia menganggap hadiahnya tidak salah malah dapat membawa perubahan terhadap masyarakat dalam menangani masalah alkoholisme. 

“Kerajaan dan polis tidak dapat menyelesaikan masalah ini. Memang ia sesuatu yang perlu diperbaiki dalam masyarakat. 

“Sejarah menunjukkan perubahan paling berkesan apabila masyarakat sendiri mengambil langkah sewajarnya. Dalam kes ini, ia turut membabitkan penjualan arak haram,” katanya. – Agensi/HMetro

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments