SEORANG pekerja kedai serbaneka 7-Eleven berdepan detik cemas apabila disamun penjenayah yang menggunakan pisau pemotong sayur di Pasir Gudang, Johor Bahru, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.28 pagi, mangsa bersama seorang rakannya sedang bekerja sebelum seorang lelaki yang memakai topi keledar, berbaju belang dan seluar jeans memasuki kedai dengan lagak seperti ‘bos’.
Menerusi perkongsian video di Facebook, jelas memaparkan suspek menghampiri rak tempat simpanan rokok dan mengambil beberapa kotak rokok sebelum dimasukkan ke dalam beg silangnya berwarna merah.
Dalam video berkenaan, suspek seolah-olah sudah biasa melakukan aktiviti samun di kedai serbaneka 7-Eleven apabila dengan mudah menekan butang sehingga mengeluarkan wang dalam peti simpanan.
Suspek turut mengacukan pisau ke arah mangsa dan mengarahkannya mengeluarkan wang di dalam mesin wang.
Mungkin mangsa lambat mematuhi arahannya, suspek menumbuk muka mangsa dan berlalu ke arah belakang kedai.
Mangsa yang menyedari peluang untuk melepaskan diri cuba berlari keluar kedai namun tindakannya itu disedari penjenayah.
“Saya terus berlari keluar untuk meminta bantuan tetapi lelaki itu menyedari dan mengejar serta menolak saya dari arah belakang,” kata mangsa dalam satu laporan polis yang dimuat naik di media sosial.
Menurutnya, suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha LC berwarna hitam bersama seorang lagi rakannya yang menunggu di luar kedai.
“Dalam keadaan kelam kabut, kedua-dua mereka terjatuh dan saya sempat menahan suspek tetapi mereka sempat melarikan diri,” katanya.
Jelasnya, susulan kejadian itu, dia mengalami kecederaan di lutut kiri dan tangan akibat pergelutan dengan suspek.
Perkongsian video tersebut mendapat perhatian netizen dan ada diantara mereka menasihatkan pekerja kedai yang beroperasi 24 jam ini untuk tidak berlagak seperti ‘hero’ dan lebih menghargai nyawa sendiri. – MYNEWSHUB.CC
No comments:
Write comments