Thursday, 11 May 2017

Penyamun Warga Asing Jadikan Wanita Sebagai Tebusan


KOTA KINABALU: Satu ‘drama’ tebusan berlaku di Jalan Damai apabila seorang lelaki mengacukan sebilah pisau ke leher seorang wanita.

Polis telah mengepung Jalan Damai dan perunding cuba menenangkan suspek dan memujuk untuk melepaskan wanita itu.

Motif tindakan lelaki itu tidak diketahui.

Dipercayai lelaki itu telah membawa wanita tersebut dari sebuah rumah di Jalan Harrington berhampiran Luyang Restoran Luyang dan diseret ke Jalan Damai kira-kira pukul 7.30 malam Rabu (10 Mei '17).

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supritendan George Abd Rahman berada di tempat kejadian.

Pada pukul 9.20 malam, lelaki itu dilihat duduk di atas jalan raya dan pisau masih di leher wanita tersebut.

Ditangan wanita itu juga turut kelihatan seperti memegang sebuah telefon bimbit.


Polis Menyamar Sebagai Pegawai Perubatan

PENYAMARAN anggota polis yang berpura-pura menjadi pegawai perubatan membawa kepada pengakhiran insiden wanita berusia 20-an yang dijadikan tebusan lebih dua jam di Jalan Damai - Luyang berhampiran Plaza Damai, Kota Kinabalu, malam tadi.

Penyamaran pada 9.35 malam membolehkan anggota polis mendekati lelaki berusia 27 tahun dipercayai warga asing itu dan seterusnya menahannya sebelum tebusan dapat diselamatkan.

Selepas diselamatkan,wanita itu yang dipercayai tidak cedera, namun trauma dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 2 di sini untuk rawatan lanjut.

Sumber berkata, polis yang bergegas ke lokasi kejadian terpaksa menggunakan kaedah itu bagi menyelamatkan wanita terbabit yang diheret sejauh 1.5 kilometer dari rumahnya dan diacu dengan pisau sepanjang kira-kira 15 sentimeter di leher.

“Anggota polis yang menyamar mendekati suspek kononnya untuk memberi rawatan kepada tebusan dan pada masa berbincang dengan suspek sebelum menangkapnya.

“Selepas diselamatkan, wanita itu dilihat menangis sebelum ditenteramkan oleh anggota paramedik.

“Dia kemudian dibawa ke HQE untuk memdapat rawatan lanjut,” katanya kepada Harian Metro.


Terdesak Jadikan Wanita Tebusan Selepas Gagal Melarikan Diri Dari Merompak

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abdul Rahman, berkata sebelum kejadian suspek berusia 27 tahun dipercayai masuk ke sebuah rumah di taman itu untuk merompak.

“Bagaimanapun, selepas kita mendapat maklumat mengenai rompakan itu, anggota polis bergegas ke lokasi kejadian sebelum terserempak dengan suspek yang kemudian cuba melarikan diri.

“Dalam keadaan terdesak, suspek yang dipercayai warga asing itu kemudian menarik seorang wanita yang juga jiran rumah dirompaknya yang kebetulan berada di luar rumah ketika itu, sebelum melarikan diri bersama wanita itu.

“Suspek kemudian mengheret mangsa hingga ke Jalan Damai sejauh kira-kira 1.5 kilometer dengan mengacu sebilah pisau 15 sentimeter di leher mangsa,” katanya dalam sidang media di sini, sebentar tadi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1968 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

George berkata, mangsa berjaya diselamatkan selepas rundingan lebih sejam dengan suspek.

“Suspek kini dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.

“Mangsa pula dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 2 (QEH2) untuk rawatan lanjut.

Setakat ini, kami belum mengetahui bagaimana keadaan mangsa tetapi dia agak trauma,” katanya sambil menambah motif mangsa memang untuk merompak rumah sebelah.

Sementara itu, suasana di Jalan Damai agak sesak dengan orang ramai yang mahu mengetahui kejadian berkenaan.

Selain polis, kenderaan bomba dan ambulans turut bersedia di lokasi kejadian.


    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments