Thursday, 11 May 2017

Digantung Sebab Bawa Anak, Pemandu GrabCar Rayu…


KUALA LUMPUR – Pelbagai cara digunakan oleh masyarakat pada masa ini untuk menambah pendapatan bagi menjalani kehidupan yang selesa.

Namun pelbagai cabaran dan dugaan yang terpaksa ditempuh semata-mata untuk meraih pendapatan tambahan terutama bagi mereka yang berpendapatan rendah tinggal di bandar besar.

Itulah hakikat yang terpaksa dihadapi oleh seorang pemandu perkhidmatan GrabCar yang terpaksa membawa anaknya ketika keluar menjalankan tugas untuk mengambil pelanggan.

Namun tindakan itu mendatangkan perasaan tidak selesa penumpang hingga ada yang membuat aduan kepada pihak pentadbir GrabCar berkenaan.

Akibatnya, pemandu terbabit memohon pihak berkenaan agar mempertimbangkan tindakan yang dikenakan sehingga akaun miliknya digantung selama lima hari.

Pemandu terbabit yang juga pemilik akaun Emerald Eve dalam posting menerusi laman sosial Facebook miliknya memohon agar tindakan berkenaan dipertimbangkan.

Difahamkan, tindakan tersebut dikenakan ke atasnya ekoran daripada aduan segelintir pelanggan yang tidak selesa dengan langkah dia yang membawa anak ketika memandu kereta.

“Assalamualaikum…Seriously need help… Account Grab saya kena suspend 5 hari sebab ada hamba Allah complaint saya bawa anak dan dia tidak selesa…I guess Itahu which customer sebab dia memang insecure banyak benda.

“Tapi takpelah salah saya… Jadi saya mohon kengkawan kalau ada nak ke mana mana.. Trip pendek ke panjang ke.. saya terpaksa cari job tepi.. Mohon bantuan rakan-rakan ye. Duit takde nih.. Nak bayar sewa kereta lagi…,” katanya menerusi posting dalam laman sosial Facebook miliknya.

Kisah rayuan pemandu ini bagaimanapun menjadi tular menerusi media sosial, namun pemerhatian yang dibuat oleh Mynewshub pula mendapati, posting berkenaan telah pun dipadam.

Biar apa pun kisahnya, diharap pihak berkenaan dapat mempertimbangkan tindakan gantung itu demi kemudahan bukan sahaja kepadanya, malah semua yang hanya cuba untuk cari rezeki tambahan. – MYNEWSHUB. CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments